MIRI: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) memberikan sokongan penuh terhadap penganjuran Festival What About Kuching (WAK) Miri yang mempromosikan pelancongan budaya dan memupuk semangat kemasyarakatan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, beliau percaya bahawa melalui penganjuran festival sedemikian yang julung kalinya diadakan di bandar raya Miri ini akan membantu menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke negeri ini bagi mempelajari mengenai budaya kita dengan lebih mendalam.
“Saya berasa gembira apabila mendengar bahawa pemain industri kreatif di Miri telah memainkan peranan yang sangat proaktif dalam menganjurkan acara seperti ini bersama pihak penganjur WAK Miri.
“Terletak di lokasi strategik dan berdekatan dengan Brunei, Sabah dan Labuan, WAK Miri menawarkan peluang yang baik kepada artis untuk datang dan menyertai acara ini yang meraikan seni, budaya dan gaya hidup kita,” katanya pada siding media pengumuman calendar WAK Miri di The Hive Coworking Space di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga optimis bahawa melalui kerjasama pelbagai pihak di dalam penganjuran WAK Miri ini, ia akan menjadi acara tahunan di dalam kalendar pelancongan, sama seperti WAK di Kuching yang diadakan setiap bulan Oktober.
Justeru itu, beliau amat mengalakkan kerjasama terutamanya dalam kalangan komuniti industri kreatif di bandar raya ini serta di wilayah utara Sarawak untuk tampil melibatkan diri dalam acara tersebut.
WAK Miri akan diadakan pada 1 hingga 4 Ogos depan, dan bakal menampilkan pelbagai persembahan, bengkel, pameran dan aktiviti kesenian yang meraikan kekayaan warisan budaya dan industri kreatif di Miri dan juga di Sarawak.
Selain itu, ia juga bakal menyajikan masyarakat ramai dengan aktiviti seperti portal muzik, bengkel interaktif, pameran seni dan fesyen, serta aktiviti dan pasaran komuniti yang menarik.



