ARTIKEL

Kredit: REUTERS | Bernama

Wales FA tarik sokongan kepada Infantino sebagai Presiden FIFA

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LONDON: Persatuan Bola Sepak Wales (FAW) menarik balik sokongan terhadap usaha Presiden FIFA, Gianni Infantino, untuk dipilih semula susulan kegagalan rancangannya menjual kepentingan dalam Piala Dunia kepada pelabur swasta, lapor PA Media/dpa.

Infantino mengumumkan minggu lepas beliau menggugurkan rancangan itu yang mendapat kecaman hebat serta ditolak oleh tiga konfederasi, namun tempoh perkhidmatan beliau sebagai presiden FIFA yang telah menjangkau sedekad masih terus mendapat penelitian ketat.

Andy Burnham berkata pada Jumaat, Infantino ialah individu yang “tidak sesuai” untuk memimpin FIFA, manakala Persatuan Bola Sepak (FA) pula menggesa supaya satu “kajian menyeluruh dan mendalam” dilakukan terhadap kepimpinannya.

Sebelum tercetusnya rancangan Infantino untuk menubuhkan FIFA Forward Enterprise (FFE), FAW telah menyatakan kesediaan untuk menyokong usahanya bagi pemilihan semula tahun hadapan.

Bagaimanapun, satu kenyataan yang dikeluarkan oleh badan induk itu pada Isnin mengesahkan bahawa sokongan tersebut telah pun berakhir.

Kenyataan FAW menyebut: “Kegagalan terkini dalam aspek tadbir urus yang baik, proses, kepimpinan, nilai, pengurusan pihak berkepentingan, komunikasi serta pertimbangan yang wajar telah menyebabkan Infantino hilang kepercayaan FAW untuk terus menerajui arena bola sepak dunia.

“Kegagalan untuk mengutamakan kepentingan terbaik bola sepak adalah sesuatu yang tidak dapat kami terima.”

Persatuan Bola Sepak England (FA) juga difahamkan telah menulis surat kepada FIFA bagi menyatakan dengan jelas bahawa ia tidak lagi menyokong Infantino.

Badan induk itu mengeluarkan kenyataan pada Sabtu menyatakan ia “menyokong sepenuhnya” pendirian UEFA bahawa keyakinan terhadap Infantino telah hilang susulan cadangan FFE.

UEFA menyatakan pada Sabtu bahawa “tiada pilihan yang harus diketepikan”, sekali gus membuka kemungkinan bahawa persatuan kebangsaan boleh mencetuskan undi tidak percaya terhadap Infantino, yang seterusnya membawa kepada penganjuran Kongres Luar Biasa FIFA.

Tindakan itu hanya memerlukan sokongan daripada 43 persatuan, namun langkah sedemikian tidak mungkin diambil melainkan wujud keyakinan yang kukuh, jika bukan kepastian, bahawa majoriti daripada 211 ahli FIFA bersedia untuk menyingkirkan Infantino dalam kongres tersebut.

CONCACAF, yang mewakili persatuan daripada Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean -gabungan merangkumi 96 persatuan – turut menggesa supaya satu “kajian menyeluruh” dilakukan terhadap kepimpinan Infantino pada hujung minggu lepas.

Sumber-sumber telah memaklumkan kepada Press Association bahawa presiden CONCACAF, Victor Montagliani, yang juga merupakan naib presiden FIFA ketika ini, bersedia untuk bertanding bagi jawatan tertinggi dalam dunia bola sepak itu.

Bagaimanapun, beberapa persatuan dari Afrika dan Asia telah mengeluarkan kenyataan yang menyokong Infantino pada hujung minggu lepas, termasuk persatuan dari Maghribi, Mesir dan Qatar. — Bernama

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan