KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, dijemput mengadakan lawatan ke Taman Negara Mulu dari 18 hingga 20 September ini.
Lawatan tersebut bertujuan memberi peluang kepada mereka berdua meninjau perkembangan Taman Negara Mulu yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Ini termasuk usaha pemuliharaan khazanah alam semula jadi, pembangunan pelancongan secara mampan serta pelaksanaan projek yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Jemputan berkenaan disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala, ketika mengadakan kunjungan hormat di Astana Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, sepanjang lawatan berkenaan, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah dijangka turut meninjau beberapa projek pembangunan yang sedang dilaksanakan serta melihat kemudahan dan keperluan masyarakat setempat.
Lawatan berkenaan juga dijangka memberi ruang kepada mereka berdua untuk beramah mesra dengan penduduk selain bertemu agensi kerajaan dan pihak berkepentingan yang terlibat dalam pengurusan, pemuliharaan dan pembangunan Taman Negara Mulu.
Hadir sama dalam kunjungan hormat itu ialah Residen Bahagian Miri, Galong Luang; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dominic Nyurang Ajang; Pegawai Penguasa Daerah Kecil Mulu, Rebetta Janggi; Penghulu Orang Ulu Daerah Marudi, Benedict Wak serta barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) kawasan berkenaan.




