Restoran Puzzle saji pelbagai menu istimewa pakej bufet Ramadan

 Wan Junaidi teruja sambut ‘anak samurai’ belajar bahasa Melayu

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Wan Junaidi memasang tengkolok pada salah seorang pelajar Jepun pada Program Kembara Anak Samurai ke Sarawak.

KUCHING: Kampung Santubong meriah penuh warna warni menyambut kehadiran 13 orang pelajar dari Jabatan Bahasa Melayu Universiti Pengajian Bahasa Asing Tokyo (TUFS), malam tadi.
 
Kunjungan sempena Program Kembara Anak Samurai ke Sarawak itu turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
 
Tujuannya adalah untuk berkongsi warisan budaya Melayu tempatan khususnya Santubong dahulunya merupakan sebuah kerajaan kuno dengan sebuah bandar pelabuhan terpenting di nusantara pada waktu itu.
 
Menurut Wan Junaidi, beliau sangat teruja menerima ketibaan kumpulan pelajar berusia 18 hingga 21 tahun itu kerana telah memilih kawasannya sebagai antara destinasi lawatan sekali gus melihat sendiri budaya masyarakat tempatan.


Satu pengalaman yang sememangnya membuka mata para pelajar Jepun itu termasuk dua pelajar senior mereka yang berusia 75 dan 77 tahun.
 
“Permulaan September yang indah apabila saya berpeluang menyantuni anak-anak muda dari negara mahatari terbit ini. Santubong suatu ketika dahulu adalah Kerajaan Melayu Sarawak dan mempunyai sejarah panjang yang mencecah lebih 1,000 tahun.
 
“Oleh itu, saya mengalu-alukan anda, ‘anak-anak Samurai’ ke Santubong, sebuah kampung yang mempunyai banyak sejarah dan legenda,” katanya.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu demikian dalam ucapannya pada Program Kembara Anak Samurai ke Sarawak di Kampung Santubong, malam tadi.
 
“Sejujurnya, sebagai anak jati Sarawak saya bangga melihat kesungguhan mereka mendekati dan mendalami budaya hidup masyarakat kita khususnya di Santubong. Masing-masing manis dalam persalinan tradisional masyarakat Jepun dan Melayu.
 
“Saya terhibur menonton persembahan mereka yang sangat kreatif dan penuh harmoni. Saya juga kagum melihat kesungguhan mereka untuk berbicara dalam bahasa Melayu.
 
“Diharap majlis ini menjadi memori manis buat mereka. Apa yang mereka lihat dan lalui malam ini adalah sebahagian kecil daripada 1,001 keunikan serta keindahan bumi Santubong tercinta,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif New Sarawak Tribune dan Suara Sarawak Dr Jeniri Amir dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada Wan Junaidi atas sokongannya dalam menjayakan program tersebut.
 
“Saya juga berharap melalui program ini, pelajar yang terlibat dapat mempelajari dan memahami dengan lebih mendalam tentang budaya di sini. Ia merupakan peluang terbaik untuk kita saling bertukar-tukar budaya,” katanya.
 
Lawatan yang diketuai pensyarah mereka, Faridah Mohamed itu akan berada di Kuching selama lima hari dari 1 hingga 5 Sept untuk merasai sendiri pengalaman kehidupan masyarakat tempatan di Sarawak.
 
Ia adalah sebahagian daripada program 17 hari ke Malaysia dan Sarawak telah dipilih sebagai destinasi pertama dengan New Sarawak Tribune dan Suara Sarawak sebagai tuan rumah.

Anak-anak samurai membuat persembahan.

E-Paper

21 Mac 2023

Latest News