Wang bukan faktor utama untuk juara

“WANG ringgit bukanlah faktor segala-galanya untuk menjadi juara,” tegas Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Kalau kita suntik wang banyak-banyak pun kalau pasukan tidak ditadbir dengan baik… maka saya yakin kita tidak akan mencapai kejayaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan pasukan bola sepak Sarawak sekarang ini yang sedang berada di tangga tercorot Liga Premier.

“Oleh itu, kegagalan pasukan negeri dalam saingan Liga Malaysia tidak harus dikaitkan dengan Kerajaan Sarawak, kononnya tiada bantuan,” tegas Karim.

“Oleh itu, pengurusan dalam Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) itu sendiri hendaklah diurus dan ditadbir dengan baik dan tersusun.

“Oleh itu, pemilihan pemain hendaklah betul… jangan pilih pemain yang tidak dapat membantu pasukan,” jelasnya.

“Saya berharap untuk musim baharu, sesiapa yang mengurus pasukan dapat membentuk pasukan dengan baik… sekurang-kurangnya berada di tangga keempat atau kelima dalam mana-mana liga yang disertai,” katanya.

Menurut Abdul Karim, beliau mahu melihat sukan bola sepak Sarawak bangkit semula musim depan.

“Kita mahu melihat bagaimana para pemain diurus dengan baik, dan jangan salahkan Kerajaan Sarawak jika pasukan bola sepak kita gagal,” tegasnya.

Katanya, Kerajaan Sarawak tidak pernah mengabaikan pasukan bola sepak, malah sejumlah besar dana diberikan kepada FAS untuk pasukan bola sepak negeri dan pembangunan.