Wang hantaran KWSP

SEJAK sebulan terakhir ini, isu paling hangat diperkatakan di media sosial ialah Akaun 1 KWSP.

Di mana-mana, kedai kopi, di pasar basah, kedai dobi semua orang begitu asyik berbicara tentang KWSP.

Apakah yang ada di KWSP?

Dalam kumpulan sembang WhatsApp Wifey – gelaran seorang sahabat yang mencetus idea menubuhkan kumpulan WhatsApp itu – juga siang malam berbicara berkaitan KWSP.

Masing-masing memberi pendapat walaupun kebanyakan kawan-kawan saya bukan golongan terjejas, 60 peratus ada kedudukan dalam jabatan dan syarikat, cuma 30 peratus yang suam-suam kuku dan 10 peratus suri rumah tangga.

Dalam banyak pendapat, saya tertarik dengan pendapat seorang eksekutif di sebuah syarikat ternama.

“Kalau boleh mahu minta KWSP keluarkan semua.

Nanti tidak menikmati simpanan KWSP kalau kita sudah tiada.

Senang-senang suami kita pakai untuk wang hantaran isteri baharu!” katanya.

Kami secara berseloroh menjawab, sudah di dalam kubur biarlah dia hendak pakai apa, waima meminang Neelofa.

Jangan katanya, kita susah payah cari duit, senang-senang hendak guna sebagai wang hantaran.

Sejauh mana kita dapat menjamin wang tinggalan kita bukan disia-siakan orang yang masih hidup?

Jika anak-anak sudah berumur 18 tahun ya, kita boleh mewariskan anak-anak untuk mengurusnya.

Tetapi bagi mereka yang memiliki anak-anak bawah 18 tahun, bapa merupakan waris sah dan jika wang berkenaan di bawah nama anak-anak, bapa mereka masih bergelar pemegang amanah.

“Kalian tahu, waris wang KWSP saya semua anak-anak, tidak 1 peratus pun saya selit nama suami.

Tetapi wang KWSP suami, nama saya sebagai pewaris sah 100 peratus,” sambungnya.

Benarlah kata orang, wang suami wang kita, wang kita tetap wang kita – maksudnya wang suami wang bersama tetapi apabila sentuh wang isteri, itu wang isteri.

Hakikatnya benar. Saya, anda dan kalian yang bergelar isteri pasti menikmati matematik tidak adil ini dengan perasaan suka.

Ilmu kira-kira ini yang selalu dipegang si isteri termasuk saya sendiri.

Mungkin ramai wanita bertuah jika tersenarai dalam hukum lejer sebegini.

Fitrahnya lelaki yang diamanahkan sebagai pemberi nafkah atau kerana memang lelaki malas mahu membuka ilmu kira-kira yang telus.

Selalunya begitu dan sentiasa kekal begitu sampai bila-bila.

Sebanyak 80 peratus kawan-kawan yang sudah bergelar isteri setuju dengan ilmu kira-kira ini dan 20 peratus lagi mungkin berasa tamak dan tidak adil.

Saya hendak tanya, di mana ada isteri dalam dunia ini mahu menanggung biawak hidup?

Di sudut mana dalam dunia ini ada isteri boleh beritahu – sayang tidak payahlah keluar duit belanja, biar saya tanggung semunya.

Ada? Pasti tiada.

Ingat si adik sekalian, sijil kahwin atau cinta tidak boleh pergi ke UTC untuk bayar bil elektrik dan air.

Bayangkan kita ke kaunter pembayaran air.

“Semuanya RM90 puan,”

“Sekejap ya, saya bayar dengan cinta.” Cinta tidak ada di dalam beg duit, juga tidak boleh dimasak di dalam kuali dan dimakan kenyang sebulan.

Tidak, itu bukan teori yang betul.

Jika cinta itu dapat dicetak menjadi wang, semua kita akan hidup bahagia tanpa bersusah payah kerja.

Cinta tidak laku jika dipajak gadai. Jadi, jangan sesekali jatuh cinta dengan biawak hidup.

Buktinya, lihat pada statistik angka perceraian dalam kalangan rakyat negara ini meningkat sebanyak 12 peratus kepada 56,975 pada 2019 berbanding 50,862 pada tahun sebelumnya.

Apakah puncanya?

Nombor satu kerana duit, puncanya kerana ekonomi tidak stabil.

Manakala, jumlah rakyat Malaysia yang berkahwin tahun lalu menurun 1.2 peratus kepada 203,821 orang, berbanding 206,352 orang pada tahun sebelumnya.

Maknanya laporan Statistik Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2020 itu menunjukkan, pasangan bercerai lebih banyak daripada pasangan berkahwin.

Namun, yang menariknya, statistik yang sama menunjukkan pengantin lelaki dan wanita yang paling tua direkodkan tahun lalu berusia 93 dan 86 tahun.

Sebanyak 0.3 peratus pula pengantin lelaki berusia 65 tahun ke atas berkahwin dengan pengantin wanita sekitar umur 24 tahun dan ke bawah.

Manakala 0.2 peratus pengantin wanita berusia 65 tahun ke atas berkahwin dengan pengantin lelaki lebih muda yang berumur 24 tahun ke bawah.

Cinta si warga emas juga menarik perbincangan dengan kawan-kawan.

Ramai yang berpendapat, pasti warga emas sama ada lelaki atau perempuan punya kewangan yang kukuh. Namun, melihat warga emas wanita berkahwin dengan lelaki muda mengundang perasaan serong berbanding warga emas lelaki yang dilihat semakin tua semakin gah jika berkahwin.

Inilah realiti kehidupan yang terpaksa kita hadapi.

Jangan pula, ada duit abang sayang, tidak ada duit abang melayang.

Duit ibarat raja – cash is king kata orang putih – ia jadi bola penentu di tengah-tengah padang.

Sama ada masuk ke dalam gawang atau sebaliknya.

Tetapi yang paling penting selain duit ialah kebahagiaan, menyejahterakan hati sesama manusia dan sentiasa bersangka baik kepada orang sekeliling.

Itulah kebahagiaan yang nyata!

Suara Sarawak