KOTA SAMARAHAN: Pemberian wang saku khas RM1,200 untuk pelajar asal Sarawak yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh Malaysia dijangka mula disalurkan pada pertengahan tahun ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, kaedah pembayaran insentif tersebut juga adalah melalui aplikasi e-dompet S Pay Global.
“Ia juga tidak diberi sekali gus, tetapi secara berperingkat, tujuan pemberian ini adalah untuk membantu meringankan beban kewangan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Pertandingan Inovasi Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) Kota Samarahan (PinKS@UiTM 2025) di Dewan Jubli, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan, hari ini.
Tambahnya, perkara tersebut juga dibangkitkan oleh pelajar Sarawak semasa program ‘Ngabas Anak Sarawak’ di Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Sementara itu, mengulas soal cadangan untuk memperluas pendidikan percuma kepada penuntut IPTA terutama UiTM Cawangan Sarawak melibatkan fasa kedua pelaksanaan, Sagah memaklumkan bahawa tumpuan perlu diberikan kepada pelaksanaan fasa pertama terlebih dahulu.






