KUALA LUMPUR: Jabatan Akauntan Negara (JANM) merekodkan lebih RM14 bilion Wang Tak Dituntut (WTD) sehingga 30 September 2026, menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau menjelaskan bahawa kurangnya kesedaran orang awam tentang kewujudan WTD dan hak menuntutnya menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada jumlah tersebut.
Selain itu, kegagalan mengesan pemilik wang berlaku kerana maklumat perhubungan seperti alamat dan nombor telefon sudah tidak tepat atau tidak dikemas kini.
Susulan itu, kerajaan menggerakkan beberapa langkah untuk mempermudah bayaran balik kepada pemilik asal, termasuk masyarakat luar bandar, antaranya Portal eGUMIS JANM yang membolehkan semakan dan tuntutan dibuat secara dalam talian.
Dalam pada itu, JANM memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran, dengan 176 program reruai WTD dilaksanakan di seluruh negara setakat 30 Oktober berbanding 89 program tahun lepas, kata Amir Hamzah ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Belanjawan MADANI peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan (MOF) di Dewan Rakyat seperti dilapor Bernama.






