KOTA SAMARAHAN: Seorang wanita cedera dalam kemalangan membabitkan Perodua Bezza dan Perodua Kelisa di hadapan Bank Islam Desa Ilmu, Jalan Dato Mohd Musa di sini, malam tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak dalam kenyataan, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.27 malam dan mengerahkan sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan ke lokasi.
“Sejurus tiba, didapati seorang mangsa wanita mengalami kecederaan luka ringan di kepala dan mengadu sakit di lutut kanan dan masih berada di dalam kereta Perodua Kelisa tetapi tidak tersepit.
“Sementara dua mangsa iaitu seorang lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat di lokasi kejadian,” katanya.
Tambah PGO, pemandu dan penumpang kereta Perodua Bezza yang kedua-duanya wanita tiada mengalami sebarang kecederaan dan berjaya keluar sendiri.
Pasukan kemudian bertindak menstabilkan dan mengeluarkan mangsa yang masih berada di dalam kereta Perodua Kelisa dan diberi rawatan awal.
“Mangsa seterusnya dihantar ke Pusat Jantung Kota Samarahan oleh Jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Setelah memastikan keadaan selamat dan keadaan terkawal pasukan bomba balik ke balai,” katanya.






