ARTIKEL

Tertuduh kanan (baju panjang kelabu) berbincang dengan peguam belanya.

Wanita Didenda RM4,000 Sembunyikan Kelahiran Janin

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang wanita tempatan dijatuhkan hukuman denda RM4,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana menyembunyikan kelahiran janin dengan menanam di kawasan semak, Januari lalu.

Tertuduh berusia 24 tahun itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dia melakukan kesalahan itu di kawasan semak di Taman Malihah, pada 28 Januari lalu.

Menurut fakta kes, pada 29 Januari lalu, tertuduh berstatus bujang datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana sakit perut dan pendarahan pada kemaluannya.

Semasa pemeriksaan, doktor mendapati bahagian kemaluan tertuduh terdapat uri seperti baru melahirkan bayi.

Laporan polis dibuat ke atas tertuduh untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Hasil siasatan mendedahkan tertuduh mempunyai teman lelaki dan pernah melakukan hubungan seks.

Pada penghujung Disember 2025, tertuduh menyedari kitaran haidnya terlambat lalu melakukan ujian air kencing dan hasilnya positif hamil.

Kemudian, dia memberitahu kekasihnya dan mereka merancang untuk menikah pada Februari 2026.

Namun, pada 28 Januari lalu, sekitar 5 petang, semasa tertuduh sedang mandi dan terbersin beberapa kali terdapat sesuatu yang keluar dari kemaluannya.

Tertuduh panik kerana janin yang dikandungnya terkeluar. Susulan itu, tertuduh lalu mengambil bekas makanan dan meletakkan janin tersebut di dalamnya.

Pada hari tersebut, tiada sesiapa yang mengetahui kejadian itu kerana kakak iparnya sedang tidur.

Dia memasukkan bekas makanan yang berisi janin tersebut ke dalam beg plastik dan keluar dari rumah lalu menaiki kereta serta pergi ke kawasan semak.

Semasa berada di kawasan semak, tertuduh menggali lubang menggunakan tangannya dan meletakkan janin ke dalam lubang tersebut lalu menimbusnya.

Dia tidak menceritakan kejadian itu kepada ahli keluarganya termasuklah kekasihnya.

Sehari selepas kejadian, tertuduh datang ke hospital bersama-sama teman lelakinya untuk mendapatkan rawatan kerana sakit perut.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fauzulutfi Suriani, manakala tertuduh diwakili Peguam Milton Foo dan Joanne Loy.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU