Wanita disyaki penjual judi dalam talian dicekup di Padawan

PADAWAN: Seorang wanita janda ditangkap Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Padawan setelah dipercayai terlibat dalam sindiket penjualan judi dalam talian, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhasaan berkata, kegiatan suspek dikesan hasil pemeriksaan polis di sebuah kedai dobi berhampiran Batu 19, Jalan Kuching-Padawan sekitar jam 6.40 petang.

Menurutnya, ketika membuat rondaan di lokasi pihaknya menemui seorang wanita warga tempatan berusia 26 tahun seorang diri dalam keadaan mencurigakan sebelum membuat pemeriksaan ke atas suspek.

“Hasil siasatan suspek mengaku bekerja sebagai penjual judi dalam talian.

“Pemeriksaan lanjut turut menjumpai barangan kes berupa seunit telefon bimbit jenama Realme dan wang tunai berjumlah RM50,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dedahnya, semakan rekod turut mendapati suspek pernah ditangkap di bawah kesalahan sama.

Susulan itu, katanya, suspek bersama barangan kes telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan untuk tindakan siasatan lanjut.

Ujarnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

PERIKSA… suspek disyaki menjalankan aktiviti penjualan judi dalam talian di kawasan terbabit

Suara Sarawak