KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita selepas video dua kanak-kanak mengeluarkan kepala melalui bumbung matahari (sunroof) sebuah kereta yang sedang bergerak tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof berkata wanita berusia 30 tahun itu ditahan selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku di Lebuhraya Grand Saga Cheras berhampiran Kampung Batu 10, Cheras. Polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada 5.28 petang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi pegawai penyiasat bagi membantu siasatan serta menasihati pengguna jalan raya supaya mengutamakan keselamatan, terutama membabitkan kanak-kanak seperti dilapor Bernama.



