KUCHING: Seorang wanita berusia 26 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta di Taman Desa Sejijak, di sini, hari ini.
Komander Operasi, PBK II Pandi Seh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.10 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di tempat kejadian, pihak bomba bertindak membuka pintu bahagian pemandu sebuah kereta jenis Proton Saga MC2.
“Mangsa didapati masih bernafas, namun dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Beberapa ketika kemudian, mangsa berjaya sedarkan diri dan diserahkan kepada ahli keluarganya sementara menunggu ketibaan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pandi menambah, operasi yang melibatkan seramai 10 anggota bomba tersebut tamat pada 9.30 malam.
Katanya, turut berada di lokasi ialah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM bagi membantu pengurusan kejadian.
“Pihak bomba kemudiannya beredar setelah memastikan keadaan mangsa stabil dan selamat,” katanya.







