KUCHING: Seorang wanita warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara keseluruhan enam bulan atas kesalahan terlibat judi dalam talian di tempat awam dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki negara ini, awal Jun lalu.
Eva Risti, 22, dari Kalimantan, Indonesia tersebut mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di dua mahkamah berasingan.
Di Mahkamah Sesyen, Eva didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta yang sama kerana memasuki Sarawak tanpa permit yang sah.
Hakim Mahkamah Sesyen Iris Awen Jon menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadap tertuduh.
Selain itu, Iris memerintahkan tertuduh dihantar ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut selepas menjalani hukuman.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana bermain judi dalam talian di tempat awam menggunakan sebuah telefon bimbit.
Bagi kesalahan itu, Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali menjatuhkan hukuman penjara dua bulan terhadap Eva.
Kedua-dua kesalahan tersebut dilakukan di sebuah kafe di Taman Malihah, Jalan Batu Kawa-Matang, sekitar jam 3.30 petang pada 14 Jun lepas.
Berdasarkan fakta kes, satu serbuan dibuat di sebuah kafe pada hari kejadian kerana dipercayai berlaku aktiviti perjudian dalam talian.
Semasa serbuan, seorang wanita warga asing ditahan manakala sebuah telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM146 turut dirampas kerana dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian tersebut.
Hasil siasatan mendedahkan tertuduh telah bermain judi dalam talian di tempat awam menggunakan sebuah telefon bimbit.
Selain itu, tertuduh juga didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah untuk masuk ke Sarawak.
Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng dan Muhammad Aidil Akmal Sharidan.



