BAU: Seorang wanita dilaporkan keguguran selepas kandungannya yang berusia 35 minggu dua hari meninggal dunia apabila kereta dipandunya berlanggar dengan kenderaan pacuan empat roda semalam.
Ketua Ibu Pejabat Polis Daerah Bau, DSP Daram Ruer, berkata nahas tersebut berlaku di Kilometer 5.0 Simpang Opar/Rumih Jalan Bau-Lundu, membabitkan kenderaan Perodua Bezza dan pacuan empat roda.
“Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 5.30 petang apabila pemandu pacuan empat roda hendak keluar ke simpang kanan menuju ke arah Bau.
“Kenderaan itu kemudian telah berlanggar dengan kenderaan mangsa yang bergerak lurus,” menurutnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Daram, akibat kemalangan itu, mangsa yang mengandung mengalami kecederaan dalaman, dan bayi dalam kandungan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS).
Tambahnya lagi, mangsa masih mendapat rawatan di wad kecemasan HUS.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berikutan kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
Pengguna jalan raya juga dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati semasa memandu, terutamanya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, katanya.






