ARTIKEL

MAUT… Seorang wanita disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Wanita maut digilis lori selepas motosikal rempuh kereta di Kota Samarahan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Seorang wanita maut selepas motosikal yang dinaikinya merempuh sebuah kereta sebelum terjatuh dan digilis lori dalam kemalangan tragis di Kilometer 10, Jalan Kota Samarahan–Tabuan Jaya, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Damataries Lautin, berkata dalam kejadian sekitar jam 9.45 pagi, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala penunggang motosikal lelaki berusia 32 tahun cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

“Kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah motosikal, Proton Saga dan lori Nissan.

“Siasatan awal mendapati kereta tersebut berhenti di persimpangan lampu isyarat dalam perjalanan ke arah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) apabila tiba-tiba dirempuh dari belakang oleh motosikal yang dinaiki mangsa dan rakannya,” katanya dalam kenyataan.

Damataries berkata, akibat pelanggaran itu, kedua-duanya terjatuh ke lorong kiri jalan sebelum pembonceng wanita berusia 40 tahun digilis lori yang datang dari arah sama dan tidak sempat mengelak.

Pemandu kereta dan lori tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan, katanya.

“Kejadian berlaku di jalan empat lorong sehala, dengan keadaan cuaca baik serta permukaan jalan rata dan kering.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk proses bedah siasat, manakala semua kenderaan yang terlibat telah dihantar ke Balai Polis Trafik Kota Samarahan untuk pemeriksaan lanjut.

“Polis kini menyiasat kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya,” katanya.

Pihak berkuasa menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas dan mengekalkan jarak selamat, terutama di kawasan persimpangan lampu isyarat, bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU