SARIKEI : Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Kenari di Kilometer 4, Jalan Repok pagi ini.
Dalam kejadian itu, mangsa Lucy Nangkai berusia 30 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan dada.
Manakala pemandu kereta Perodua Kenari, Lu Yew Tai, berusia 27 tahun dirujuk ke Hospital Sarikei untuk rawatan lanjut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sarikei, Deputi Superintendan Polis (DSP) Benedict Faris Jimoy berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan yang dipandu Lu hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa.
“Impak kemalangan tersebut, mangsa tercampak ke dalam parit dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dibahagian kepala dan dada.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Sarikei yang tiba di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kemalangan itu disiasat lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.




