LUBOK ANTU: Penumpang wanita sebuah pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan kendiri berhampiran Simpang Lubok Antu, malam tadi maut selepas tercampak keluar.
Lebih tragis, mangsa dikatakan dihempap kenderaan yang dinaikinya.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, mangsa dikenali sebagai Rotela Angela Roger.
“Kenderaan jenis jenis Toyota Hilux yang dinaiki tiga individu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke arah laluan bertentangan sebelum terbalik ke dalam longkang.
“Akibat kejadian itu, seorang penumpang tercampak keluar sebelum dihempap oleh kenderaan tersebut.
“Selepas berjaya dikeluarkan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Jelasnya, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara pemandu dan seorang lagi penumpang turut dilaporkan cedera dan dikejarkan ke hospital berhampiran.
Operasi diketuai PBK II KUP Mohd Johari Abdullah tamat kira-kira 9.51 malam.





