KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 47 tahun maut selepas dihempap tiang besi yang tumbang akibat dirempuh sebuah kereta di medan selera Bandar Mahkota Cheras awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata kejadian kira-kira 1.15 pagi itu berlaku apabila kereta dipandu lelaki tempatan berusia 35 tahun memasuki ruang makan selepas dipercayai tertekan pedal minyak.
Pemandu kemudian cuba keluar dari kawasan berkenaan, manakala mangsa dipercayai berlari ke arah kenderaan untuk menghalang atau menghentikannya.
Ketika membuat pusingan, kereta itu melanggar tiang besi sehingga tumbang dan menghempap kepala mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemandu yang cedera menerima rawatan di hospital sebelum ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala semakan mendapati lelaki itu tidak mempunyai rekod lampau seperti dilapor Bernama.



