ARTIKEL

SIAP SIAGA... Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, bersama anggota Wanita PBB sebelum mesyuarat bermula di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako, Kuching, hari ini. | Foto: Ghazali Bujang

Wanita PBB mahu calon bermerit dan mampu menang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Lebih ramai wanita perlu diberi peluang bertanding pada pilihan raya akan datang, namun calon yang dipilih mesti berdasarkan merit dan kemampuan untuk menang.

Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata pergerakan itu mahu melihat peningkatan jumlah wanita sebagai wakil rakyat, sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen.

“Kita mahu melihat lebih ramai wanita menjadi wakil rakyat, sama ada dalam pilihan raya negeri atau Parlimen, dan yang penting bukan sekadar dicalonkan tetapi menang,” katanya pada sidang media sebelum Mesyuarat Majlis Tertinggi Wanita PBB di ibu pejabat parti itu, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti berkata, perwakilan wanita dalam politik masih rendah meskipun wanita menunjukkan kemajuan dalam memegang jawatan kepimpinan di pelbagai sektor lain.

Bagaimanapun, Fatimah berkata pemilihan calon perlu mengambil kira penekanan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg supaya calon dipilih berdasarkan kewibawaan dan merit.

“Calon tidak seharusnya dipilih semata-mata kerana mereka wanita, tetapi berdasarkan merit masing-masing dan kita mesti mempunyai calon yang mampu menang,” tambahnya.

Sementara itu, beliau berkata mesyuarat berkenaan turut memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh jentera pilihan raya Wanita PBB yang sudah digerakkan menerusi program turun padang sejak beberapa bulan lalu.

Antara program berkenaan ialah Kamek Prihatin, Kitak Penting dan Simpulan Kasih yang dilaksanakan di enam zon bagi memperkukuh hubungan dengan keluarga dan masyarakat.

Beliau berkata anggota pergerakan itu juga perlu menguasai maklumat berkaitan pembangunan Sarawak selain menguasai kemahiran baharu bagi mendekati kelompok pengundi yang semakin berkembang.

Mesyuarat itu turut dijadualkan membincangkan taklimat berkaitan ejen tempat mengundi dan ejen pengiraan undi, kesiapsiagaan pilihan raya serta program turun padang yang dirancang di zon Miri.

“Persiapan pilihan raya tidak boleh ditinggalkan sehingga saat-saat akhir dan perlu dirancang supaya jentera wanita kita tersusun, berstruktur dan cekap dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita,” katanya lagi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU