KOTA TINGGI: Seorang wanita hamil 36 minggu cedera manakala kandungannya disahkan meninggal dunia selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 4.3 Jalan Kota Tinggi-Kluang, tengah hari semalam.
Bernama melaporkan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Yusof Othman berkata insiden pada 1.55 tengah hari itu membabitkan mangsa berusia 35 tahun yang menunggang motosikal jenis SYM dengan sebuah Nissan X-Trail dipandu warga emas berusia 61 tahun.

Menurut beliau, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan pelbagai guna terbabit cuba membelok untuk memasuki simpang lalu bertembung dengan motosikal mangsa yang sedang bergerak di laluan lurus.
Beliau berkata wanita berkenaan mengalami kecederaan kepala serta pendarahan dalaman dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala pemandu SUV tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.



