KUCHING: Wanita Sarawak tidak lagi boleh sekadar menjadi pemerhati kepada perubahan, sebaliknya perlu berada di barisan hadapan dalam menentukan hala tuju masa depan negeri, khususnya ketika dunia berdepan gelombang kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, perubahan iklim dan ketidaktentuan ekonomi.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kepimpinan dalam era kompleks memerlukan lebih daripada sekadar keupayaan membawa perubahan, sebaliknya menuntut pertimbangan, kebijaksanaan dan keberanian membuat keputusan sukar.
“Apakah jenis pemimpin yang diperlukan Sarawak untuk masa depannya?
“Kita memerlukan pemimpin yang bukan sahaja mampu membawa perubahan, tetapi mempunyai pertimbangan untuk mengetahui perubahan yang penting, keberanian membuat keputusan sukar dan tanggungjawab terhadap kesannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Sarawak Women of Tomorrow (SWOT) Bootcamp 2026: Leadership Judgment in an Age of Complexity bertemakan ‘From Transformation to Stewardship: Leading Sarawak’s Next Growth Chapter’ di Damai Lagoon Resort, Santubong, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fatimah memberitahu, cabaran kepimpinan kini semakin kompleks apabila AI dan pendigitalan mengubah cara manusia bekerja serta membuat keputusan, manakala perubahan iklim, perubahan demografi dan ketidaktentuan ekonomi serta geopolitik turut memberi kesan terhadap masyarakat.
Menurutnya, perubahan demografi Sarawak yang menyaksikan kadar kelahiran terus menurun perlu diberi perhatian serius kerana ia memberi implikasi terhadap tenaga kerja, penuaan penduduk, penjagaan serta perancangan ekonomi negeri pada masa depan.
Tambahnya, isu keterwakilan wanita dalam jawatan berpengaruh masih menjadi cabaran meskipun kemajuan ketara telah dicapai dalam bidang pendidikan dan penyertaan ekonomi.
Jelasnya, Laporan Jurang Gender Global 2026 menunjukkan 69.4 peratus jurang gender global telah ditutup, namun kesamarataan gender sepenuhnya masih diunjurkan mengambil masa sekitar 120 tahun berdasarkan kadar kemajuan semasa.
“Wanita memasuki organisasi dalam jumlah yang besar, tetapi persoalannya ialah apa yang berlaku dalam perjalanan mereka menuju ke peringkat tertinggi. Kita perlu memastikan wanita mendapat peluang, sokongan, pengalaman dan ruang institusi untuk berkembang,” katanya.
Tegasnya lagi, penyertaan wanita dalam tenaga buruh Malaysia pada suku kedua 2026 berada pada 57 peratus berbanding 63.3 peratus bagi lelaki, manakala tanggungjawab domestik dan penjagaan antara faktor utama menyebabkan sebahagian wanita berada di luar pasaran pekerjaan.
Sehubungan itu, beliau memberitahu, penyediaan kemudahan penjagaan kanak-kanak, sokongan kepada keluarga, penjagaan warga emas, fleksibiliti pekerjaan dan kesinambungan kerjaya perlu diperkukuh bagi memastikan bakat wanita tidak terhenti di pertengahan laluan.
Beliau turut menggesa wanita Sarawak supaya tidak sekadar menjadi pengguna teknologi, khususnya AI, tetapi tampil sebagai pencipta, penyelidik, usahawan, pembuat dasar dan pemimpin yang menentukan bagaimana teknologi digunakan untuk kepentingan masyarakat.
“Kita mahu melihat wanita Sarawak bukan sekadar menyesuaikan diri dengan AI, tetapi memimpin perubahan teknologi.
“Jangan takut memasuki ruang yang selama ini kurang diwakili wanita kerana bab seterusnya Sarawak memerlukan kepimpinan dalam kerajaan, perniagaan, industri, akademia, teknologi, keusahawanan dan komuniti,” ujarnya.
Fatimah turut mengingatkan peserta bahawa kepimpinan sebenar bukan sekadar mengenai kuasa atau jawatan, sebaliknya berkait rapat dengan integriti, pertimbangan dan tanggungjawab terhadap mereka yang menerima kesan daripada sesuatu keputusan.
“Kuasa tidak sama dengan kepimpinan. Jawatan mungkin memberikan kuasa, tetapi pertimbangan, integriti dan tanggungjawab memberikan kredibiliti kepada kepimpinan,” tambahnya.


