ARTIKEL

Fatimah menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta sambil disaksikan tetamu yang lain.

Wanita Sarawak perlu diperkasa dalam kepimpinan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kepimpinan wanita bukan sekadar membantu dalam menggubal dasar, malah menjadi suara hati masyarakat, khususnya golongan wanita, kanak-kanak dan kumpulan rentan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata pemimpin wanita membawa nilai tambah dalam kepimpinan kerana memiliki sifat empati dan keprihatinan yang mendalam terhadap kesejahteraan rakyat.

“Apabila wanita diberi peluang kepimpinan, mereka mampu memberi kepelbagaian input serta perhatian yang lebih menyeluruh.

“Wanita juga boleh menjadi mentor dan inspirasi kepada generasi muda untuk berani melangkah ke arena kepimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Kepimpinan Wanita 2025 (Bahagian Kuching) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Fatimah menegaskan hala tuju kepimpinan wanita di Sarawak jelas, iaitu memastikan penyertaan lebih ramai wanita dalam proses membuat dasar serta keputusan, seiring dengan strategi pembangunan pasca COVID-19 yang menekankan pertumbuhan ekonomi, keterangkuman sosial, kesaksamaan dan kelestarian.

Katanya, pemerkasaan wanita di Sarawak telah menunjukkan pencapaian membanggakan dalam bidang pendidikan dan kesihatan, namun masih perlu dipertingkatkan dalam bidang ekonomi dan politik.

“Dari segi pendidikan, kita sudah capai lebih 96 peratus akses pendidikan awal kanak-kanak.

Malah, di universiti, jumlah pelajar wanita mengatasi lelaki.

“Tetapi dalam bidang ekonomi dan politik, kita perlu bekerja lebih keras supaya wanita juga mampu meningkatkan kesejahteraan keluarga dan menyumbang dalam membuat keputusan penting,” jelasnya.

Mengulas usaha kementerian, Fatimah berkata pelbagai program telah dilaksanakan termasuk Latihan Kepimpinan Wanita dan Kem Kepimpinan Intensif untuk melatih barisan pelapis pemimpin wanita di peringkat akar umbi.

Selain itu, katanya, Sarawak juga menubuhkan unit khas D2EI di bawah Jabatan Wanita dan Keluarga yang memberi fokus kepada Kepelbagaian, Kesaksamaan, Keadilan dan Keterangkuman bagi mempercepatkan proses pemerkasaan wanita dalam kepimpinan.

Beliau turut berkongsi bahawa Yayasan Sarawak menyediakan tiga biasiswa khas bagi wanita mengikuti Ijazah Sarjana Kepimpinan Wanita ASEAN di Universiti Kepimpinan Wanita ASEAN, Pulau Pinang.

“Kita mahu melahirkan lebih ramai pemimpin wanita bertaraf antarabangsa yang dapat membawa suara masyarakat ke peringkat global.

“Wanita mesti sokong wanita, kerana jika kita tidak menyokong sesama sendiri, siapa lagi akan menyokong kita?” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berharap lebih ramai belia wanita berusia 18 hingga 28 tahun tampil menunjukkan minat untuk dipimpin dan diberi peluang sebagai barisan pelapis pemimpin masa depan.

Menurutnya, Sarawak turut menubuhkan Majlis Kanak-Kanak di tujuh pihak berkuasa tempatan termasuk DBKU, MBKS, Padawan, Sibu, Miri dan Bintulu, sebagai usaha membimbing generasi muda agar berani menyuarakan pandangan serta membentuk kepimpinan sejak awal.

“Cabaran memang banyak, lebih-lebih lagi bagi pemimpin wanita.

“Namun dengan kemahiran komunikasi, ilmu pengetahuan serta keberanian, saya yakin wanita Sarawak mampu menjadi pemimpin berwibawa yang memberi kesejahteraan kepada rakyat,” tambah Fatimah.

BERITA LAIN

RM1.272 bilion perkukuh bekalan air di Sarawak

KUCHING: Enam projek bekalan air di Sarawak bernilai keseluruhan RM1.272 bilion akan diteruskan menerusi Pelan Pelaksanaan Berkala Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan akses

BERITA TERBARU

RM1.272 bilion perkukuh bekalan air di Sarawak

KUCHING: Enam projek bekalan air di Sarawak bernilai keseluruhan RM1.272 bilion akan diteruskan menerusi Pelan Pelaksanaan Berkala Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan akses

Polis tahan empat suspek kes khianat simbah cat

MIRI: Gara-gara tuntutan hutang pinjaman wang dalam talian yang dipercayai dibuat oleh anak lelakinya, seorang bapa berusia 54 tahun menerima ugutan sebelum kediamannya di sebuah