MIRI: Seorang wanita warga emas yang dilaporkan sesat lebih 14 jam di kawasan belukar belakang Everwin Pujut 7 berjaya ditemui dalam keadaan selamat malam semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa Cheng Lai Hoi, 60, keluar seorang diri dari rumah sekitar jam 9 pagi untuk mencari rebung namun gagal menemui jalan keluar.
“Laporan mengenai kehilangan mangsa diterima pada jam 7.45 malam dan usaha mencari serta menyelamat digerakkan segera dengan kerjasama Unit STORM dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Wanita itu ditemui pada jam 11.20 malam dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan dan diberikan rawatan serta-merta di lokasi sebelum dibenarkan pulang ke rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menyeru orang ramai agar segera melaporkan sebarang kejadian kehilangan kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di talian 085-433700 / 085-433400 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Selain itu, Farhan turut menasihati orang awam agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut.






