KOTA SAMARAHAN: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila kenderaannya terbakar setelah terlibat dalam kemalangan di Samarahan Expressway, malam tadi.
Kejadian yang berlaku sekitar 11.10 malam itu nyaris meragut nyawa, namun tindakan pantas orang awam dan pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan semua mangsa.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) PBK I Gilbert Majem berkata, kemalangan membabitkan Toyota Vios yang dinaiki mangsa dan Proton Saga yang dinaiki dua lelaki.
“Kemalangan itu menyebabkan Toyota Vios terbakar, manakala pemandu wanita berjaya menyelamatkan diri dengan bantuan orang awam sebelum dibawa ke hospital,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Gilbert menambah, dua lelaki di dalam kenderaan Proton Saga juga selamat dan kesemua mangsa mengalami kecederaan ringan.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula, katanya.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada 11.30 malam dan operasi ditamatkan pada 11.51 malam,” katanya menambah, punca dan kerugian akibat nahas masih dalam siasatan.



