SARATOK: Cubaan seorang lelaki tempatan untuk mengelak daripada tindakan undang-undang berakhir apabila dia diberkas polis selepas dikesan mempunyai waran tangkap aktif dalam Op Bersepadu Ambang Tahun Baharu 2026 di Pekan Saratok, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata tangkapan dilakukan oleh pasukan MPV STK 102 pada 1 Januari 2026 kira-kira jam 12.15 tengah malam ketika rondaan operasi bersepadu dijalankan.
“Suspek ditahan selepas kenderaan yang dipandunya kelihatan mencurigakan sebelum pemeriksaan dan semakan lanjut dibuat.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai waran tangkap aktif kerana gagal menghadiri perbicaraan di Mahkamah Saratok melibatkan kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif amphetamine dan methamphetamine.
“Selain itu, suspek juga mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes narkotik, sekali gus mengukuhkan keperluan tindakan tegas diambil terhadap individu berkenaan.
“Suspek yang beralamat di Saratok Bazaar itu kemudiannya ditahan untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap individu yang ingkar arahan mahkamah dan mempunyai waran tangkap tertunggak, sambil memberi amaran bahawa operasi pengesanan akan terus dipergiatkan.


