Warga Brunei maut kemalangan

LIMBANG: Seorang lelaki warganegara Brunei maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kereta lain dalam kemalangan di Kampung Bidang Jalan Tedungan, di sini semalam.

Mangsa, Pangeran Abd Azim Pangeran Ismail, 34, maut di tempat kejadian selepas kereta jenis Ford Mondeo yang dipandunya bertembung dengan kenderaan tersebut.

Menurut Timbalan Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri (JBPN) Tiong Ling Hii, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.30 pagi.

Katanya, tiba di lokasi mereka mendapati berlaku kemalangan melibatkan pertembungan dua kenderaan model Ford Mondeo dan Mitsubishi Pajero.

“Kemalangan berlaku apabila kereta Mitsubishi Pajero yang dipandu Ishak Abdullah, 74, serta isteri Aminah Abdullah, 76, dari arah Bandar Lawas menghala ke Kuala Lurah bertembung dengan kereta yang dipandu mangsa.

“Impak dari pelanggaran tersebut menyebabkan kereta Ford Mondeo yang dipandu oleh mangsa terputus dua,” katanya dalam satu kenyataan.

Ling Hii menjelaskan, mangsa dikeluarkan oleh pihak bomba dengan menggunakan “stretcher” bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan di tempat kejadian.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis manakala kedua-dua pasangan suami isteri yang cedera dikejarkan ke Hospital Limbang bagi mendapatkan rawatan,” ujarnya.

Suara Sarawak