MENERUSI Program Jalinan Silaturahim, para peserta bukan sahaja diberi pendedahan tentang pengetahuan teknologi, tetapi juga diasuh untuk memahami cabaran dunia digital dengan lebih yakin dan selamat.
Ia menjadi platform penting menyemai semangat kekeluargaan, berkongsi pengalaman dan memperkukuh peranan warga emas sebagai ejen komuniti yang berpengetahuan dan berdaya saing.
Menurut Pengerusi Kelab Literasi Digital Warga Emas Kuching (DiWarMas Akrab), Sajali Mohamad, program ini bertujuan mengeratkan ukhuwah serta memperkukuh jalinan kerjasama warga emas yang aktif dalam pembelajaran digital dan ilmu al-Quran.
Menurutnya, majlis yang diadakan di Surau Cahaya Islam, RPR Batu 12, Kuching ini merupakan anjuran bersama Kelab Literasi Digital Warga Emas Kuching (DiWarMas Akrab) dan Kumpulan Nur al-Quran.
Menurutnya, majlis yang diadakan di Surau Cahaya Islam, RPR Batu 12, Kuching ini merupakan anjuran bersama Kelab Literasi Digital Warga Emas Kuching (DiWarMas Akrab) dan Kumpulan Nur al-Quran.
Antara pengisian yang menarik perhatian ialah apabila warga emas mengajar warga emas, satu strategi yang jarang ditemui.
Hal ini demikian kerana kebanyakan warga emas mempunyai tahap celik digital yang amat rendah.
Bagaimanapun, situasi ini berbeza dengan ahli kelab yang terdiri daripada warga emas yang telah didedahkan dengan peranti digital melalui setiap sesi yang dijalankan oleh kelab di Pustaka Negeri Sarawak.
“Ini turut memberi semangat kepada peserta dari surau apabila melihat rakan seusia mereka mampu menghasilkan imej menarik menggunakan ChatGPT,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sajali, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Jali, merakamkan setinggitinggi penghargaan kepada sahabat-sahabat daripada Kumpulan Nur al-Quran Batu 12 atas sambutan yang mesra dan hangat.
Beliau menegaskan bahawa lawatan ini bukan sekadar pertemuan sosial, tetapi merupakan satu usaha murni untuk mengukuhkan silaturahim serta memberi semangat kepada warga emas agar terus aktif menimba ilmu dan berbakti kepada masyarakat.
“Harapan kami, semoga ukhuwah yang terjalin hari ini akan terus berkembang dan menjadi titik mula kepada lebih banyak kerjasama yang bermanfaat.
“Warga emas kita bukan beban, tetapi sumber inspirasi.
Mereka bukan sekadar ingin belajar, tetapi juga ingin terus menyumbang.
Mari kita terus berganding bahu membina komuniti yang seimbang antara nilai tradisi dan kecanggihan teknologi,” katanya.
Justeru, beliau berkata, kehadiran ChatGPT sebagai alat pembelajaran dan carian maklumat harian telah membuka mata banyak pihak.
Ia memberi peluang kepada warga emas untuk terus belajar secara kendiri dan selamat
“Program seperti ini bukan sahaja membuka ruang pembelajaran baharu kepada warga emas, malah turut membina semangat komuniti yang kukuh.
“Apabila ilmu disampaikan dengan penuh hormat dan kasih sayang, warga emas tidak lagi berasa tersisih daripada arus kemodenan,” katanya. Dalam pada itu, program ini mendapat sambutan amat memberangsangkan daripada warga emas yang hadir.
Pengerusi Surau Cahaya Islam RPR Batu 12, Mohd Redhzuan Rogers Abdullah, 59, melihat program ini sebagai satu peluang besar kepada komuniti
. “Saya melihat program ini sebagai satu inisiatif yang amat bermanfaat, khususnya untuk golongan warga emas.
Ia memberi pendedahan secara langsung kepada dunia teknologi maklumat yang selama ini agak asing bagi sebahagian besar daripada kami.
“Program seperti ini membuka peluang untuk kami menjadi lebih celik IT serta berdaya saing dalam era digital masa kini. Saya amat berharap program sebegini dapat diteruskan dan diperkasakan lagi pada masa akan datang demi manfaat komuniti,” katanya.
Sementara itu, Khatijah Abdullah, 68, memberitahu, platform pembelajaran digital ini benar-benar membuka matanya tentang betapa pentingnya ilmu teknologi dalam kehidupan seharian, walaupun pada usia emas.
“Program ini bukan sahaja menambah ilmu baharu, tetapi juga memberi keyakinan untuk berinteraksi dengan dunia digital.
Saya sangat teruja dan berharap lebih banyak sesi seperti ini dapat dianjurkan supaya saya dapat terus belajar dan mendalami ilmu digital yang semakin berkembang,” katanya.
Dalam pada itu, Aslinda Ahmad, 59, pula menekankan kepentingan konsistensi dalam pembelajaran.
“Program ini sangat berguna dan memberi impak yang positif kepada kami sebagai warga emas.
Ia bukan sekadar aktiviti pembelajaran, tetapi turut menjadi ruang untuk kami berinteraksi dan membina keyakinan diri dalam menggunakan peranti digital.
“Saya mencadangkan agar masa pembelajaran ditambah dan kelas-kelas diadakan secara berkala supaya proses pembelajaran kami dapat berlangsung secara konsisten dan berterusan,” jelasnya.
Sementara itu, Affendi Sahat, 65, memuji pengenalan kepada teknologi seperti ChatGPT dan cara penggunaan telefon pintar
. “Dalam sesi yang dikendalikan oleh Cikgu Som, kami diperkenalkan asas penggunaan telefon pintar, termasuk cara mengendalikan pelbagai aplikasi asas.
“Lebih menarik lagi, kami turut didedahkan tentang penggunaan ChatGPT, satu aplikasi kecerdasan buatan yang amat berguna dalam pelbagai aspek kehidupan harian.
“Saya percaya, dengan pendedahan seperti ini, warga emas dapat mengadaptasi teknologi secara lebih mudah dan selamat.
“Saya mencadangkan agar usaha pendigitalan diperluaskan ke seluruh kampung dan bandar agar warga emas tidak ketinggalan dalam arus teknologi serta mampu menghadapi cabaran seperti ancaman penipuan dalam talian yang semakin berleluasa,” katanya.
Jalinan Silaturahim bukan sekadar satu program, tetapi merupakan satu gerakan kecil yang membawa perubahan besar.
Semoga usaha seperti ini akan terus berkembang di seluruh negara demi memperkasa warga emas sebagai peneraju komuniti digital yang aktif dan dihormati.



