Warga emas disaran untuk meningkatkan penguasaan literasi digital bagi memastikan mereka dapat menjalani kehidupan berkualiti, seiring perkembangan teknologi maklumat.
Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli memaklumkan, Program Literasi Digital Warga Emas Bersama Belia memainkan peranan penting mendekatkan warga emas dengan dunia digital.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa literasi digital semakin penting kerana banyak perkhidmatan kerajaan, seperti SPay dan Kad Emas Kenyalang (KGC), beralih ke platform digital.

Inisiatif seperti ini katanya, mampu membantu warga emas mengadaptasi perubahan, sekali gus merapatkan jurang digital.
Menurut beliau, literasi digital membolehkan warga emas mengakses perkhidmatan ini dengan lebih mudah.


KERJASAMA
Beliau turut memuji pelibatan Elderly Digital Literacy Club dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu melaksanakan program ini.
“Kerjasama NGO dan sukarelawan amat penting kerana mereka melengkapkan kekangan sumber manusia agensi kerajaan dalam melaksanakan program kemasyarakatan.
“Hanya melalui usaha bersama, kita dapat memastikan tiada kumpulan yang tertinggal dalam arus pemodenan teknologi,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di Pustaka Negeri Sarawak pada Isnin.
Menurut beliau, program ini turut membantu warga emas mengatasi ketakutan akan teknologi.
“Rasa takut adalah normal bagi mereka yang tidak biasa dengan teknologi. Dengan kelas literasi seperti ini, pemahaman mereka bertambah, keyakinan meningkat, dan rasa takut itu hilang,” jelas beliau.
KESELAMATAN PENGGUNA
Malah, katanya, program ini juga menekankan keselamatan dalam penggunaan teknologi, seperti cara mengelak penipuan dalam talian. Ia menyediakan warga emas dengan kemahiran asas media sosial untuk memperluas jaringan sosial dan mengurangkan kesunyian.
“Kesunyian ialah fenomena global yang memberi kesan negatif kepada warga emas. Melalui teknologi, mereka dapat berhubung dengan anak cucu yang jauh, mengetahui perkembangan keluarga dan menghilangkan rasa sunyi. Ini terbukti memberi kesan positif kepada beberapa warga emas yang mahir menggunakan teknologi,” tambah Japri.

Justeru, beliau berharap lebih banyak pihak akan bekerjasama dengan Pustaka Negeri Sarawak untuk memperluas literasi teknologi dalam kalangan masyarakat, terutama golongan yang tidak berada dalam sistem pendidikan formal.
“Penguasaan teknologi maklumat yang disarankan oleh Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) melalui strategi ekonomi digital 2030 adalah langkah penting ke arah negeri maju.
“Jika masyarakat, terutama warga emas dan mereka di luar bandar, tidak menguasai teknologi ini, mereka akan ketinggalan. Maka, sokongan semua pihak sangat diperlukan,” katanya.
Dengan program seperti ini, ujarnya, Sarawak terus bergerak ke arah mencapai matlamat negeri maju berpendapatan tinggi, inklusif secara sosial dan lestari menjelang 2030.
Beliau berkata, literasi digital bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup individu tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan negeri secara keseluruhan.

Program anjuran Elderly Digital Literacy Club dengan sokongan Pustaka Negeri Sarawak ini diadakan di Bilik Seminar Pustaka Negeri Sarawak yang bermula jam 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Program yang julung kali diadakan ini melibatkan 41 warga emas dan belia dalam lingkungan umur 18 hingga 60 dan ke atas.





