Ketika dunia bergerak pantas dalam era digital, warga emas juga tidak mahu ketinggalan.
Mereka kini mula menyahut seruan untuk menguasai kemahiran teknologi – bukan sekadar mengikuti arus, tetapi demi membina kehidupan yang lebih berdikari dan bermakna.
Inilah yang ingin dipupuk menerusi Majlis Ramah-tamah Aidilfi tri anjuran Kelab Literasi Digital Warga Emas yang berlangsung meriah di Pustaka Negeri Sarawak, baru-baru ini.
Lebih daripada sekadar Sarawak, Japri Bujang Masli, penganjuran majlis ini adalah strategi baik mempromosikan pentingnya kemahiran digital kepada warga emas.
“Melalui penyertaan yang ramai ini, kami berharap jumlah keahlian kelab ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa.
“Warga emas perlu memiliki kemahiran literasi digital kerana kebanyakan perkhidmatan dan kemudahan kerajaan kini disampaikan secara dalam talian,” ujarnya kepada Suara Sarawak.
Tambah Japri, kemahiran ini bukan lagi satu pilihan, tetapi sudah menjadi satu keperluan bagi warga emas demi meningkatkan kualiti hidup mereka.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan, majlis seperti ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga emas, malah turut meningkatkan keterlihatan Kelab Literasi Digital Warga Emas supaya lebih ramai akan menyertainya.
“Kita mahu memastikan golongan warga emas kekal aktif serta memiliki kemahiran digital yang mencukupi supaya mereka bukan sahaja dapat membantu diri sendiri dalam urusan harian, malah turut berupaya membantu rakan-rakan lain berasaskan kemahiran literasi digital yang telah mereka kuasai,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelbagai aktiviti menarik memeriahkan majlis sepanjang dua jam ia berlangsung, antaranya sesi karaoke, cabutan bertuah dan jamuan juadah tradisional yang menyelerakan.
Majlis turut diserikan dengan ceramah agama oleh Pegawai Agama Islam Bahagian Sarikei Ustaz Abdul Rahim Rashid, bertajuk “Memahami Kepentingan Mencari Ilmu dalam Islam” yang memberikan peringatan dan motivasi kepada warga emas tentang kepentingan menuntut ilmu sepanjang hayat.
Dalam pada itu, Suara Sarawak juga berkesempatan menemu bual tiga warga emas yang berkongsi pandangan mengenai intipati dan manfaat majlis yang dianjurkan.
Menurut Rohana Seruji, 66, meskipun sudah berusia, beliau tetap aktif dan sentiasa melibatkan diri dalam majlis ilmu.
“Penting menghadiri majlis ilmu seperti ini kerana selain dapat menambah pengetahuan, saya juga dapat bersosial dan bertemu rakanrakan.
Anak-anak sudah besar, jadi saya ada lebih banyak masa untuk diri sendiri.
“Nasihat saya, semua jenis ilmu itu penting, terutamanya ilmu agama.
Tanpa ilmu agama, hidup kita ibarat perahu yang terumbangambing.
Sekurang-kurangnya, ilmu agama memberi panduan kepada kita untuk membawa diri ke mana-mana,” katanya.
Sementara itu, Johwny Adam, 77, menyatakan sokongan terhadap pembelajaran ilmu digital dalam kalangan warga emas.
“Saya juga menyertai banyak majlis ilmu, terutamanya berkaitan ilmu digital seperti Kelab Literasi Digital Warga Emas ini kerana zaman sekarang semuanya menggunakan teknologi digital.
“Jangan anggap orang tua tidak perlu belajar kerana warga emas juga perlu tahu cara menggunakan Facebook, WhatsApp atau membuat bayaran bil secara dalam talian,” ujarnya.
Beliau turut menasihati golongan muda agar memanfaatkan masa muda untuk menuntut ilmu kerana ketika usia muda, minda lebih segar dan mudah menerima ilmu berbanding warga emas yang mengambil masa lebih lama dalam proses pembelajaran.
“Jadi, belajarlah, kerana apabila sudah ke liang lahad, barulah kita berhenti belajar,” tambahnya.
Selain itu, ahli Kelab Literasi Digital Warga Emas, Muhamed Jamel Nusi, 67, memerhatikan peningkatan penyertaan dalam kelab tersebut dan menyifatkannya sebagai perkembangan yang sangat positif.
“Pada mulanya, saya tidak berminat untuk menyertai kelab ini, namun apabila melihat semua urusan kini menggunakan telefon bimbit, saya mengambil keputusan untuk belajar sedikit demi sedikit.
“Bagi warga emas, proses pembelajaran ini sebenarnya menyeronokkan dan banyak membantu memudahkan urusan harian, terutamanya apabila melibatkan bantuan kerajaan yang kini disalurkan melalui sistem digital,” tambahnya.
Jelas Jamel, melalui kelab seperti ini, warga emas berasa lebih dekat dengan generasi muda, sekali gus dapat merapatkan jurang antara usia.
Menurutnya, dunia kini berada di hujung jari dan ilmu boleh diakses dengan mudah.
Justeru, beliau berharap generasi muda hari ini menuntut ilmu sebanyak mungkin demi kebaikan diri mereka sendiri, terutamanya dalam menghadapi cabaran dunia masa kini, kerana apaapa jua ilmu yang dipelajari mampu membantu mereka meneruskan kehidupan dengan lebih baik.



