KEMAHIRAN digital dalam kalangan warga emas kini mampu diperkasakan dengan lebih berkesan menerusi pendedahan kepada teknologi semasa seperti penggunaan peranti pintar, aplikasi keselamatan, media sosial, serta kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT.
Langkah ini bukan sahaja bertujuan memperkenalkan teknologi kepada golongan berusia, malah juga memberikan mereka peluang untuk turut serta secara aktif dalam dunia digital yang semakin pesat berkembang.
Menyahut cabaran ini, seramai 35 warga emas menyertai Program Skuad Emas: Literasi Digital yang dianjurkan oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita Masjid Darul Hasanah, Taman Sourabaya Indah.
Program yang berlangsung baru-baru ini di masjid tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan, menunjukkan kesungguhan warga emas untuk mempelajari kemahiran baharu demi kelangsungan hidup yang lebih berdikari dan bermakna.
Menurut tenaga pengajar program, Kalthoum Adni, keberanian dan kesediaan warga emas untuk mempelajari teknologi perlu sentiasa dipupuk agar mereka tidak terus ketinggalan dalam era pendigitalan.
“Ilmu digital kini bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan. Melalui kursus seperti ini, mereka menjadi lebih yakin dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain dalam menjalani urusan harian,” katanya.
Tambah beliau, sebelum ini ramai warga emas menyerahkan sepenuhnya urusan berkaitan teknologi, termasuk perbankan internet, kepada anak-anak atau orang lain.
Namun, apabila mereka diberi pemahaman yang betul dan diajar cara penggunaan yang selamat, keyakinan untuk mengendalikan sendiri urusan tersebut mula terbentuk.
“Apabila rasa takut itu berjaya dihapuskan, mereka tidak lagi bergantung kepada orang lain.
Inilah tanda bahawa tahap literasi digital mereka sudah mencapai tahap yang memberangsangkan,” jelasnya.
Kalthoum berkata, program ini secara asasnya bertujuan meningkatkan keyakinan serta pelibatan aktif warga emas dalam penggunaan teknologi digital secara lebih bermakna.
Lebih menarik, ia turut memperkenalkan pembentukan sebuah kumpulan sokongan yang dikenali sebagai Skuad Emas, iaitu sekumpulan warga emas celik digital yang berperanan sebagai pemudah cara dan mentor kepada rakan-rakan sebaya mereka.
“Pendekatan rakan sebaya seperti ini lebih mesra dan berkesan. Ia menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan warga emas serta mewujudkan komuniti digital yang lebih inklusif.
Secara tidak langsung, ini juga membantu mengurangkan jurang digital antara generasi,” jelasnya kepada Suara Sarawak. Menurut beliau, impak program ini dijangka besar dan berpanjangan, bukan sahaja kepada para peserta, malah kepada masyarakat setempat secara keseluruhan.
“Antara hasil yang diharapkan termasuk peningkatan tahap celik digital warga emas, sejajar dengan dapatan kajian yang menunjukkan pendekatan komuniti mampu meningkatkan kemahiran teknologi secara signifi kan dalam kalangan golongan berusia.
“Selain itu, inisiatif ini juga dapat mengurangkan jurang digital antara usia serta mengecilkan perbezaan akses teknologi antara masyarakat bandar dengan luar bandar.
Pelibatan warga emas dalam komuniti digital turut dikaitkan dengan peningkatan kesejahteraan emosi, sekali gus membantu mengurangkan rasa kesunyian dan risiko kemurungan dalam kalangan mereka,” katanya.
Tambah beliau, program ini dilihat sebagai satu bentuk pemerkasaan buat warga emas.
“Mereka bukan sekadar penerima maklumat, tetapi turut memai
Dalam erti kata lain, mereka kini menjadi sebahagian daripada barisan hadapan yang memacu perubahan dalam masyarakat digital,” jelasnya.
Kesan positif program ini turut dirasai secara langsung oleh para peserta, termasuk Su’ut Lias, 63, seorang pesara kerajaan, yang berkongsi bahawa program tersebut sangat membantu warga emas menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang pantas.
“Ramai antara kami sebelum ini takut menggunakan teknologi sebab risau menjadi mangsa penipuan. Melalui program ini, kami belajar perkara asas yang sangat penting dan memberikan keyakinan untuk mencuba sendiri,” katanya.
Sementara itu, Siti Alawiah, 61, yang merupakan pesara guru, menyifatkan kursus tersebut sebagai pendedahan yang membuka minda.
“Kami diajar bagaimana untuk mengenal pasti penipuan dalam talian dan menggunakan teknologi untuk kebaikan. Ilmu ini amat berguna, terutamanya untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan siber,” katanya.
Bagi Meena Kipli, 73, seorang suri rumah, pengalaman mempelajari tentang teknologi AI seperti ChatGPT merupakan sesuatu yang amat menarik.
“Sekarang saya tahu AI boleh digunakan untuk mencari maklumat, menjawab soalan dan membantu dalam tugasan harian.
Ia satu kemahiran baharu yang sangat berguna bagi kami warga emas,” ujarnya.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Digital Warga Emas (DiWarMas) yang dirancang untuk turut diperluaskan ke beberapa masjid lain di sekitar negeri bagi memperkasa warga emas supaya mereka menjadi komuniti celik digital yang berdikari, dihormati, dan relevan dalam era teknologi masa kini.
Melalui usaha berterusan seperti ini, jelas bahawa warga emas bukan lagi sekadar penonton dalam dunia digital, tetapi pelaku aktif yang mampu membentuk masa depan komuniti mereka sendiri.






