MARUDI: Seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia akibat lemas di kawasan takungan air berdekatan Kampung Cina di sini semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden berkenaan sekitar jam 12.55 tengah hari.
Menurutnya, mangsa yang merupakan seorang lelaki warga emas berbangsa cina berusia 76 tahun itu telah dilaporkan hilang setelah keluar dari rumahnya di Lot 104A, Jalan Burung Tiong, Kampung Cina.
“Mangsa dilaporkan keluar pada jam 9.30 pagi, namun gagal pulang ke rumah sehingga laporan dibuat oleh keluarga mangsa.
“Susulan itu, pihak bomba dengan segera menjalankan operasi mencari di kawasan mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa kemudian telah dijumpai di kawasan takungan air dengan kedalaman lebih kurang dua kaki dalam keadaan tidak sedarkan diri,” ujarnya.
Sehubungan itu katanya, pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang berada di dalam takungan air menggunakan pengusung.
Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak hospital dan polis untuk tindakan selanjutnya.



