BETONG: Kehilangan seorang warga emas berusia 79 tahun mendorong kira-kira 60 penduduk Rh Empaling Jelang Spak, Ulu Layar, di sini, turun padang membantu pasukan mencari dan menyelamat (SAR), hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba berkata, Nawie Jabing dilaporkan keluar ke kebun berhampiran rumah panjang kira-kira jam 6.30 pagi semalam, namun tidak pulang sebelum laporan polis dibuat.
“Usaha awal penduduk kampung mencari wanita berkenaan bagaimanapun gagal menemui mangsa sebelum operasi SAR digerakkan bagi memperluas pencarian.
“Operasi hari pertama bermula kira-kira jam 12.10 tengah hari tadi membabitkan tiga anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, tiga anggota polis, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta kira-kira 60 penduduk kampung,” katanya.

Menurutnya, operasi SAR memberi tumpuan di kawasan kebun mangsa yang terletak berhampiran rumah panjang dengan radius pencarian sehingga 500 meter.
“Pasukan SAR turut menemukan sebilah parang dipercayai milik Nawie di kawasan kebun, namun tiada petunjuk lain yang membawa kepada keberadaan wanita terbabit.
“Pencarian diteruskan sehingga jam 5 petang sebelum ditangguhkan dan akan disambung semula esok,” katanya.
Beliau berkata, pasukan SAR akan meneruskan pencarian dengan bantuan penduduk setempat bagi menyisir kawasan sekitar rumah panjang dan kebun mangsa dengan lebih menyeluruh.



