Warga emas hilang ditemui selamat

BAU: Seorang pesara tentera berusia 61 tahun ditemui selamat selepas kira-kira sehari hilang di dalam hutan.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata ketika ditemui, warga emas itu hanya berseluar panjang tanpa baju dan bertuala.

Menurutnya, kehilangan mangsa disedari hilang selepas tidak pulang ke rumahnya di Kampung Rumih, di sini sekitar jam 9 pagi semalam.

Katanya usaha mencari yang dijalankan oleh ahli keluarga bersama penduduk kampung juga gagal menemui mangsa, sebelum melaporkan kepada polis kira-kira jam 9 malam.

Malah selepas itu, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (bomba) yang turun membantu mencari mangsa sehingga jam 10.30 malam juga tidak berjaya disebabkan cuaca yang tidak mengizinkan.

Mangsa juga dikatakan mempunyai rekod kesihatan menghidap penyakit sawan.

Sehubungan itu, Poge berkata pasukan operasi mencari dan menyelamat melibatkan 31 orang terdiri daripada anggota polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) termasuk penduduk kampung diaktifkan sekitar jam 8 pagi tadi.

“Mangsa dijumpai pada jam 10.30 pagi pada jarak lebih kurang satu kilometer dari rumahnya iaitu di dalam hutan berhampiran jalan raya.

“Ketika ditemui dia dalam keadaan lemah serta pengadu sakit kaki akibat terjatuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Poge menambah mangsa sudah dibawa ke Hospital Bau menggunakan van APM untuk rawatan lanjut.

 

Suara Sarawak