Warga emas kelar leher

SIBU: Seorang lelaki berusia 58 tahun dipercayai bertindak mengelar leher dan pergelangan tangannya dalam cubaan untuk membunuh diri, semalam.

Mangsa dikatakan melakukan tindakan tersebut di rumahnya di Jalan Wong King Huo.

Kejadian itu disedari oleh anak perempuannya ketika sedang bangun dari tidur apabila menemui mangsa terbaring berlumuran darah di ruang tamu kira-kira jam 7.30 pagi.

Panik melihat keadaan ayahnya, dia segera menghubungi pasukan penyelamat bagi bantuan lanjut.

Pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan anggota polis tiba di rumah mangsa untuk membantu serta menghantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi semalam.

“Kita telah menerima laporan kes ini. Difahamkan menurut ahli keluarganya mangsa mempunyai masalah mental.

“Bagaimanapun, kita akan mengadakan siasatan lebih lanjut,” katanya lagi.

Suara Sarawak