BAU: Seorang lelaki warga emas maut apabila kenderaan dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta pikap di Lebuh Raya Pan Borneo Bau-Lundu, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Bau Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata, kejadian dilaporkan berlaku sekitar 1.45 petang berdekatan persimpangan P, dekat Kampung Sipadah.
Katanya, hasil siasatan berlaku apabila kereta jenis Mitsubishi Pajero dipandu mangsa yang berusia 60 tahun keluar mengejut di persimpangan P lalu dilanggar pemandu pikap jenis Mitsubishi Triton yang bergerak lurus dari arah Lundu.
“Disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu pikap tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian hadapan sebelah kiri kenderaan mangsa.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa dikejarkan ke Hospital Bau menggunakan ambulans EMRS pihak Bomba,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Haide berkata, hasil siasatan juga mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian mangsa.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Bau pada 3.17 petang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



