ARTIKEL

Warga Emas Rugi RM1.44 Juta Diperdaya Sindiket Penipuan Telefon


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Ugutan kononnya berdepan waran tangkap dan pembekuan akaun bank atas tuduhan pengubahan wang haram menyebabkan seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun terpedaya sehingga kerugian RM1.44 juta akibat sindiket penipuan telefon.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, kejadian bermula pada 25 Ogos lalu apabila mangsa menerima panggilan WhatsApp daripada nombor tidak dikenali ketika berada di kediamannya.

Menurutnya, pemanggil yang memperkenalkan diri sebagai pendakwa raya dari Putrajaya mendakwa mangsa mempunyai waran tangkap dan akaun banknya bakal dibekukan kerana kononnya terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram.

“Mangsa kemudian diarahkan membuka akaun baharu di Alliance Bank dan mendaftarkan nombor telefon milik suspek pada akaun berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Alexson berkata, mangsa seterusnya diarahkan memindahkan RM1.41 juta ke dalam akaun baharu tersebut atas alasan wang berkenaan diperlukan bagi tujuan siasatan lanjut.

Katanya, suspek kemudian melakukan 26 transaksi pemindahan wang berjumlah RM1,353,355 daripada akaun tersebut ke akaun bank suspek.

Selain itu katanya, mangsa turut diarahkan membuat pembayaran tambahan berjumlah RM90,000 ke dalam akaun bank suspek.

“Mangsa akhirnya menyedari dirinya diperdaya selepas mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM1,443,355,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong penyerahan harta.

Jika sabit kesalahan jelas beliau, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta denda.

Sehubungan itu, Alexson menasihatkan orang ramai supaya tidak panik apabila menerima panggilan mencurigakan, sebaliknya segera menamatkan panggilan tersebut.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mendedahkan sebarang maklumat peribadi atau perbankan kepada pemanggil tidak dikenali, selain menghubungi balai polis berhampiran untuk membuat semakan atau laporan.

“Orang ramai juga disarankan menyemak nombor akaun bank dan nombor telefon yang mencurigakan menerusi portal rasmi Semak Mule Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sebarang aktiviti mencurigakan boleh dilaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 atau Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak menerusi panggilan atau WhatsApp di 011-6289 0089 serta e-mel kjsjkswk@rmp.gov.my,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU