Warga emas terselamat selepas sesat hampir tujuh jam di hutan Kampung Semadang

KUCHING: Seorang warga emas mungkin tidak diketahui nasibnya jika tidak ditemui, selepas dia tersesat di dalam hutan di sekitar kawasan ladang kelapa sawit Kampung Semadang di sini.

Mangsa berusia 62 tahun yang sudah dalam keadaan lemah ditemui oleh pekerja ladang sawit yang terlibat dalam usaha mencarinya, setelah dia terperangkap hampir tujuh jam di dalam hutan berkenaan.

Menurut pekerja ladang sawit terbabit, mangsa yang berasal dari Serian dan juga rakan sekerjanya dipercayai hilang sekitar jam 12 tengah sebelum menjumpainya di kawasan berbukit ketika hujan lebat pada jam 6.30 petang tadi.

“Pada awal, kami bersama-sama membuat survei di sekitar kawasan ladang sebelum dia memberitahu ingin balik awal.

“Bagaimanapun apabila saya balik selang beberapa jam kemudian, motosikalnya masih ada di ladang sebelum dimaklumkan oleh rakan lain bahawa dia hilang.

“Nasib baik saya dapat menjumpainya, kalau tidak saya tidak tahu apa nasibnya kerana dia sudah tidak bermaya dan kelaparan,” katanya.

Usaha mencari dan menyelamat mangsa turut melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Siburan, yang dihubungi untuk bantuan.