KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 111 bulan dan denda RM16,500 atau penjara 21 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana melakukan penipuan tiket loteri terhadap empat warga emas melibatkan wang berjumlah RM48,480.
Rusli Rudding,50, dari Kalimantan mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang dibacakan di dua Mahkamah Majistret berasingan hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama, pada 9 Januari lepas, di premis di sini, menipu seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM19,000 dengan menjanjikan membayar komisen sekiranya membantu dia dan seorang lagi rakannya yang masih bebas menuntut hadiah wang kemenangan tiket loteri.
Manakala, pertuduhan kedua, pada 13 Januari lepas, di sebuah bank di Satok, mereka menipu seorang warga emas lelaki berusia 72 tahun meminta mangsa menyerahkan wang berjumlah RM1,980 dengan menjanjikan perkara yang sama.
Mengikut pertuduhan ketiga, pada 15 Januari lalu, sekitar jam 10.00 pagi, di sebuah bank di Tabuan Jaya, mereka sekali lagi melakukan cara penipuan yang sama terhadap seorang lelaki warga emas berusia 64 tahun dengan meminta mangsa menyerahkan wang tunai RM25,000 tetapi menunaikan janji yang dibuat antara mereka untuk memberikan komisen tiket loteri.
Bagi pertuduhan keempat, pada 8 Oktober 2024, sekitar jam 9.00 pagi, di sebuah bank di Stutong, mereka secara bersama-sama menipu seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun dengan menjanjikan membayar komisen sekiranya membantu mereka menuntut hadiah wang kemenangan tiket loteri tetapi harus menyerah wang tunai RM2,500 terlebih dahulu sebagai cagaran.
Tertuduh dan rakannya yang masih bebas didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun yang sama, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun atau sebatan atau dikenakan denda.
Majistret Mason Jaro Lenya Barayan menjatuhkan hukuman penjara 36 bulan dan denda RM6,500 atau penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama. Manakala pertuduhan kedua, dia dijatuhi hukuman penjara 36 bulan dan denda RM10,000 atau penjara 15 bulan.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Majistret Ling Hui Chuan menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 15 bulan dan 24 bulan terhadap Rusli.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak.
Modus operandi mereka adalah menyasarkan warga emas dengan menjanjikan komisen yang lumayan untuk membantu mereka membuat tuntutan tiket loteri yang mereka menangi tetapi perlu memberikan sejumlah wang tunai daripada mangsa sebagai jaminan kononnya supaya mangsa tidak melarikan diri.
Sementara itu, pada 31 Januari lepas, rakan tertuduh bernama Bahri Ameng Abdullah, 55, dari Julau mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan yang sama dan dibebaskan dengan ikat jamin RM1,000 beserta seorang penjamin.
Bagaimanapun, Bahri gagal hadir ke mahkamah untuk sebutan semula kes dan usaha mencarinya dan penjamin menemui jalan buntu.
Difahamkan, Bahri telah melarikan diri ke negara jiran iaitu Indonesia.
Pendakwaan kes bagi pertuduhan ketiga dan keempat dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Nur Shafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Kes disiasat oleh Pegawai Penyiasat Inspektor Siti Nur Intan, Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Annie dan Sarjan Mohd Azaha.



