KUCHING: Di sebalik kesibukan dunia kewartawanan yang sentiasa mengejar tarikh akhir menyediakan berita terkini, kakitangan Sarawak Tribune dan Suara Sarawak meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama dalam suasana penuh keakraban.
Majlis yang berlangsung di bangunan syarikat itu semalam bermula pada jam 6.30 petang dan dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr Jeniri Amir; Ketua Pengarang Sarawak Tribune, Aden Nagrace; Editor Eksekutif Suara Sarawak, Rohana Wahed; Pengurus Kanan Bahagian Perniagaan Korporat, Dorge Rajah serta beberapa tetamu kehormat lain.
Meskipun tugas harian mereka tidak mengenal waktu, majlis berbuka puasa ini menjadi kesempatan istimewa bagi warga media untuk berehat seketika dan menikmati hidangan bersama rakan sekerja.
Bagi kakitangan baharu serta beberapa pelatih industri, pengalaman berbuka puasa bersama rakan sekerja menjadi satu kenangan bermakna.


Mereka berkesempatan mengenali lebih ramai warga kerja yang jarang ditemui, terutamanya disebabkan masing-masing bertugas di lapangan bagi melengkapkan laporan berita.
Perbualan santai tersebut memberi peluang kepada mereka untuk bertukar pandangan dan belajar daripada rakan sekerja yang lebih berpengalaman.
Sambutan berbuka puasa ini menjadi satu peringatan bahawa walaupun dunia media bergerak pantas, semangat kebersamaan tetap menjadi tunjang utama dalam sesebuah organisasi.



