Di sebalik kesibukan bandar dan arus kehidupan moden yang semakin pantas, seorang gadis muda Bidayuh membuktikan identiti budaya tidak pernah lapuk ditelan zaman.
Bagi Melcy James, 19, warisan nenek moyang bukan sekadar kenangan masa lalu, tetapi sebahagian daripada jati diri yang perlu dibawa ke mana sahaja beliau melangkah.

Gadis yang berasal dari Kampung Stass, Bau itu kini menetap di bandar bagi melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Kolej Cyberjaya.
Walaupun baru setahun berjauhan dari kampung halaman, kehidupannya di bandar tidak pernah memisahkan dirinya daripada akar budaya Bidayuh yang begitu dekat di hati.

Keanggunan dan keyakinannya turut terserlah apabila beliau berjaya meraih gelaran Naib Johan Keempat serta Miss Fotogenik menerusi pertandingan Miss Tasik Biru 2025.
Namun, di sebalik pencapaian tersebut, Melcy tetap seorang gadis sederhana yang menjunjung tinggi nilai kekeluargaan, adat dan budaya masyarakatnya.

“Menjadi seorang gadis Bidayuh bagi saya bermaksud membawa identiti dan warisan nenek moyang dengan penuh bangga. Ia bukan sekadar asal usul, tetapi juga cara hidup, nilai hormat terhadap keluarga serta semangat komuniti yang kuat,” katanya penuh yakin.
Kata-kata itu menggambarkan bagaimana budaya Bidayuh terus hidup dalam dirinya walaupun berada jauh dari suasana kampung.

Dalam dunia moden yang sering mempengaruhi gaya hidup generasi muda, Melcy memilih untuk mempertahankan tradisi yang diwarisi sejak kecil.
Antara amalan yang masih diteruskannya ialah mengenakan pakaian tradisional ketika sambutan Gawai Dayak.
Baginya, pakaian tradisional bukan sekadar simbol budaya, tetapi juga lambang penghormatan terhadap identiti masyarakat Bidayuh.

Selain itu, makanan tradisional seperti pansuh masih menjadi hidangan istimewa dalam keluarganya.
Walaupun tinggal di bandar, dia tetap merindui suasana memasak bersama-sama keluarga, terutama ketika musim perayaan.
“Kebanyakan tradisi saya pelajari daripada ibu dan nenek saya. Mereka selalu berkongsi cerita, mengajar cara memasak makanan tradisional dan menunjukkan adat yang perlu dipatuhi sejak saya kecil,” ujarnya.
Didikan daripada keluarga menjadikan Melcy lebih menghargai budaya sendiri. Bahasa Bidayuh juga masih digunakan dalam kehidupan harian, terutama ketika bersama-sama keluarga di kampung.

“Saya masih bertutur dalam bahasa Bidayuh, walaupun tidak setiap hari. Di rumah, saya cuba menggunakannya bersama-sama keluarga, tetapi di luar saya lebih banyak menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris,” katanya.
Namun, mempertahankan budaya di bandar bukan sesuatu yang mudah.
Menurut Melcy, cabaran terbesar ialah kekurangan komuniti yang mengamalkan budaya yang sama serta gaya hidup bandar yang terlalu sibuk.
“Di bandar, semuanya bergerak pantas. Kadang-kadang sukar untuk mengekalkan bahasa dan adat secara konsisten kerana persekitarannya sangat berbeza dengan kampung,” jelasnya.
Dalam pada itu, Melcy juga mengakui pernah berasa malu dan terasing dengan identiti Bidayuh ketika kecil, terutama apabila ada pihak yang tidak memahami budaya masyarakatnya.

Namun, pengalaman itu menjadikan dirinya lebih matang dan yakin dengan jati diri sendiri.
“Semakin dewasa, saya semakin bangga menjadi orang Bidayuh kerana saya sedar budaya kami unik dan sangat bernilai,” katanya sambil tersenyum.
Menurutnya, reaksi masyarakat bandar terhadap budaya Bidayuh juga pelbagai. Ada yang kagum dan ingin mengetahui dengan lebih lanjut, namun ada juga yang kurang memahami makna sebenar tradisi tersebut.
“Apabila saya jelaskan tentang budaya kami, kebanyakan mereka menghormatinya. Saya rasa itu penting supaya masyarakat lebih mengenali budaya etnik di Sarawak,” katanya.
Di sebalik kesibukan belajar dan komitmen harian, Melcy pernah hampir tidak menyambut Gawai kerana jadual yang padat.
Namun, rasa rindu terhadap keluarga dan suasana kampung membuatkan beliau kembali menghargai perayaan tersebut.
“Momen paling menyentuh hati bagi saya ialah apabila melihat keluarga berkumpul dan menghidupkan semula adat lama. Saat itu membuatkan saya sedar betapa pentingnya budaya dalam menyatukan keluarga,” katanya.
Bagi menyesuaikan tradisi dengan kehidupan moden, Melcy memilih pendekatan yang lebih fleksibel.
Beliau meraikan budaya secara sederhana mengikut kesesuaian masa dan keadaan tanpa menghilangkan makna sebenar tradisi tersebut.
Media sosial pula digunakan sebagai platform untuk memperkenalkan budaya Bidayuh kepada masyarakat luar.
Melalui perkongsian gambar, video dan cerita tentang pakaian tradisional serta sambutan Gawai, beliau berharap lebih ramai anak muda akan menghargai identiti sendiri.
“Saya mahu budaya Bidayuh lebih dikenali. Jika generasi muda sendiri tidak berkongsi tentang budaya mereka, lama-kelamaan ia mungkin dilupakan,” katanya.
Sebagai anak muda, Melcy percaya dirinya mempunyai tanggungjawab besar dalam meneruskan warisan budaya. Pesanan ibu bapanya supaya tidak melupakan asal usul sentiasa menjadi pegangan hidupnya.
“Saya mahu generasi akan datang melihat budaya Bidayuh sebagai sesuatu yang bernilai, relevan dan perlu dipelihara,” katanya penuh harapan.
Dalam dunia yang semakin moden, Melcy membuktikan tradisi dan kemajuan boleh bergerak seiring.
Di tengah-tengah kehidupan bandar, jiwa Bidayuh dalam dirinya terus mekar, membawa warisan lama menuju masa depan.



