SEKITAR 1,500 penonton tempatan dan antarabangsa hadir menyaksikan Konsert Etnika Sarawak yang berlangsung Sabtu lalu.
Konsert tersebut merupakan Anjuran Potres Enterprise di bawah pimpinan Narawi Rashidi dengan sokongan Majlis Seni Sarawak (MSS).
Program ini menjadi pentas untuk mempamerkan keunikan muzik tradisional dan kontemporari Sarawak.
Konsert istimewa ini menampilkan pelbagai genre muzik, termasuk etnik, kontemporari dan irama 60-an.
Gabungan instrumen tradisional seperti sape, ensembel buluh — angklung dan gambang, serta instrumen moden menghasilkan sebuah persembahan yang dinamik.
Ia bukan sekadar persembahan muzik, tetapi pengalaman budaya yang mendalam untuk meraikan warisan di Sarawak.
Acara ini dimeriahkan oleh pelbagai kumpulan dan pemuzik berbakat, termasuk Perintis Orkestra Tradisi Remaja Sarawak (Potres), Bungan Creative, Arthur Pratuokng, The Pilip’s, Soutun Najihin dan kumpulan ikonik Tuku Kame.
Penyanyi seperti Nurhidayah Materang, Suzanna Ahmad, Hasalizar Samshuddin dan Firdarus Udin turut hadir membuat persembahan.
Pemain sape ternama, Jerry Kamit dan Darren Mengga turut memukau penonton dengan kepakaran mereka.
Sebagai persembahan utama, Tuku Kame, kumpulan yang diasaskan di Kampung Budaya Sarawak pada 1998 ini menampilkan aksi bertenaga.
Kumpulan ini terkenal di peringkat antarabangsa sebagai penerima lapan pingat emas di World Championship Of Performing Arts di Los Angeles pada 2009, menjadikan mereka simbol kebanggaan muzik Sarawak.
Menurut penganjur yang juga Pengurus Potres, Narawi Rashidi, Konsert Etnika Sarawak bertujuan untuk mengangkat martabat muzik tradisional dan kontemporari Sarawak di mata dunia.
“Acara ini mencipta platform untuk pemuzik dan penyanyi tempatan berkongsi bakat, menyemai rasa cinta akan seni tradisional serta mempromosikan warisan budaya kepada generasi muda.
“Konsert ini juga menjadi peluang unik untuk memperkenalkan penonton kepada alat muzik tempatan yang kaya dengan nilai sejarah dan budaya,” ujarnya kepada Suara Sarawak.
Ujarnya, penggabungan elemen moden dan tradisional bertujuan untuk menjadikan muzik etnik lebih relevan dan mudah diterima, terutama dalam kalangan generasi muda.
“Perancangan untuk konsert ini mengambil masa hampir setahun dan cabaran terbesar ialah mencari dana kerana kos penganjuran yang tinggi.
“Saya bersyukur apabila permohonan geran Myseni yang disokong oleh Majlis Seni Sarawak berjaya dan diluluskan.
“Dengan melibatkan lebih 60 pemuzik dan penari serta 20 kakitangan produksi, acara ini menjadi bukti dedikasi yang tinggi untuk menjayakan sesuatu yang bermakna.
Tambah Narawi, konsert ini tidak akan terlaksana tanpa sokongan pelbagai pihak.
Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Kampung Budaya Sarawak, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Bulan Sabit Merah, Star Audio One Company dan Music Rights Sarawak Bhd (MRSB).
Tegasnya, konsert ini bukan sekadar hiburan tetapi usaha berterusan untuk melestarikan warisan budaya dan muzik tempatan.
Melalui acara seperti ini, Sarawak bukan sahaja meraikan identiti uniknya, tetapi juga berkongsi kekayaan budaya dengan dunia.
Konsert Etnika Sarawak membuktikan bahawa gabungan muzik tradisional dan kontemporari mampu mencipta pengalaman seni yang menawan serta menjadikan warisan budaya terus relevan pada era moden.
Diharapkan konsert ini menjadi pemangkin kepada penganjuran acara serupa pada masa akan datang, sekali gus mempromosi Sarawak sebagai destinasi seni budaya bertaraf dunia.



