ULU BARAM: Penduduk kampung digalakkan menyelitkan unsur tradisional seperti ukiran kayu masyarakat Orang Ulu dalam pembangunan baharu kampung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Datuk Dennis Ngau berkata, usaha mengekalkan elemen tradisi bukan sahaja melambangkan identiti sesuatu kaum, malah membantu memelihara khazanah warisan rumah panjang.
“Saya baru pulang dari sebuah kawasan yang telah didiami penduduknya sejak ratusan tahun lalu.
Saya mendapati banyak khazanah lama rumah panjang masih disimpan dan dipelihara sehingga hari ini.
“Jika khazanah tradisional ini terus dipelihara, generasi muda akan mengetahui asal usul mereka. Jika tidak, mereka mungkin menganggap rumah panjang pada masa lalu sama seperti yang dilihat hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Blok Rumah Panjang Baharu Kampung Long Apu, di sini, pada Jumaat.
Menurut Dennis, beliau gembira melihat usaha generasi muda dan penduduk yang terus membina rumah serta menambah jumlah pintu rumah panjang di kampung itu.
“Saya amat menggalakkan usaha ini kerana ia menunjukkan masyarakat masih menghargai akar budaya dan identiti sendiri. Kampung Long Apu boleh menjadi contoh kepada kampung lain di Telang Usan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa rumah panjang merupakan harta dan warisan masyarakat yang bukan sekadar tempat tinggal, tetapi lambang perpaduan, budaya dan identiti.
“Kalau boleh, alamat kampung dijadikan alamat dalam kad pengenalan supaya hubungan dengan kampung halaman terus kekal,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dennis berkata dewan masyarakat Long Apu akan dibina pada tahun hadapan selepas Jambatan Sungai Paong Long Apu siap.
“Dewan masyarakat yang pernah dijanjikan kepada penduduk Long Apu akan diusahakan pembinaannya tahun hadapan.
“Kemudahan ini penting sebagai pusat aktiviti dan tempat generasi muda menjalankan program kemasyarakatan,” katanya.
Mengenai bekalan air, beliau berkata projek SAWAS telah diluluskan untuk kawasan itu dan kini menunggu pelaksanaan oleh JBALB Sarawak.
“Sementara menunggu projek tersebut dilaksanakan, program pembinaan saluran air graviti secara gotong-royong akan diteruskan bagi memastikan penduduk mendapat bekalan air yang lebih baik,” katanya.



