KUCHING: Pengetahuan tradisional masyarakat Sarawak perlu dimanfaatkan menerusi penyelidikan dan inovasi bagi menghasilkan produk komersial serta membuka peluang pendapatan kepada komuniti tempatan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, warisan yang disokong pengetahuan saintifik dan kepimpinan pendidikan mampu menjadi pemangkin kepada daya tahan komuniti serta pembangunan mampan.
Inovasi tidak harus terpisah daripada warisan kerana kedua-duanya penting dalam membentuk masyarakat berdaya tahan dan berdaya saing.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Simposium Pendidikan tentang Kepimpinan, Kemahiran Lanjutan dan Pemahaman Warisan untuk Ketahanan Ekonomi anjuran Jabatan Muzium Sarawak di Pusat Sains Sarawak (SSCiEX), di sini, hari ini.
Menurutnya, warisan turut berpotensi mencetuskan penyelidikan, merancakkan industri kreatif dan pelancongan mampan serta mengembangkan perusahaan komuniti.
“Usaha ini seterusnya dapat mewujudkan peluang ekonomi baharu yang mampu memperkukuh daya tahan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, Sagah menggalakkan peserta, khususnya pemimpin masyarakat, menjadi duta kepada pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh sepanjang program berkenaan.
Katanya, gabungan kebijaksanaan tradisional, pengetahuan saintifik dan pemikiran inovatif mampu membuka peluang baharu dalam ekopelancongan, industri kebudayaan, pemuliharaan biodiversiti, pertanian mampan dan keusahawanan tempatan.
Sagah berkata, meskipun pembangunan infrastruktur, kesalinghubungan digital dan pelaburan ekonomi penting, kekuatan utama Sarawak tetap terletak pada rakyatnya.
“Pembangunan mampan memerlukan masyarakat berpendidikan, berkemahiran dan inovatif yang mampu menghadapi cabaran masa depan tanpa mengetepikan identiti budaya.
“Komitmen ini diterjemahkan menerusi pelaburan strategik MEITD dalam pendidikan, sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan digital, inovasi serta pembangunan bakat agar potensi rakyat Sarawak dapat direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), automasi, bioteknologi, teknologi digital dan ekonomi hijau kini mengubah industri, membentuk semula kerjaya serta mempengaruhi cara manusia hidup dan bekerja.
“Oleh itu, pendidikan tidak lagi boleh memberikan tumpuan kepada pengetahuan akademik semata-mata, sebaliknya perlu melahirkan individu yang mampu berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah kompleks, berkomunikasi dengan berkesan dan menguasai teknologi,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Muzium Sarawak, Yayasan Sarawak, Sarawak Skills, Pusat Sains Sarawak, Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan PETRONAS atas komitmen terhadap pembangunan komuniti dan modal insan.





