TAJUK BUKU: Seni Ukiran & Arca Sarawak: Iban & Melanau
PENULIS: Yakup Mohd Rafee, Awangko Hamdan Pangeran Arshad, Doris Maying, Louis Ringah Kanyan, Mohamad Zamhari Abol Hassan, Mohd Affendi Azizan dan Sylvester Wielding Jussem.
PENERBIT: Pustaka Negeri Sarawak
JUMLAH MUKA SURAT: 136
TAHUN TERBIT: 2020
SIRI Sarawakiana ini mengupas seni ukiran dan arca Sarawak dalam kalangan kaum Iban dan Melanau.
Terdapat beberapa perkara yang dibincangkan, antaranya seni ukiran dan arca di Sarawak, teknik ukiran, motif dan corak serta objek budaya pada masa kini.
Buku Siri Sarawakiana ini merupakan hasil penerbitan fasa pertama daripada rangkuman penyelidikan yang mengumpulkan maklumat berkaitan seni ukiran dan arca yang terdapat di Sarawak.
Penerbitan ini merupakan hasil kerjasama Pustaka Negeri Sarawak dan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), dalam usaha mendokumentasikan kekayaan seni dan budaya yang wujud dalam kepelbagaian etnik di negeri ini.
Bagi fasa pertama, buku ini mempersembahkan maklumat berkaitan seni ukiran dan arca dalam kalangan dua etnik terbesar di Sarawak, iaitu Iban dan Melanau.
Data visual dan maklumat berkaitan seni ukiran dan arca dikumpulkan melalui kajian lapangan di beberapa kawasan yang dikenal pasti, iaitu Sri Aman bagi etnik Iban dan Mukah bagi etnik Melanau.
Sarawak kini masih utuh dengan keaslian budayanya walaupun amalan ritual etnik semakin dipinggirkan.
Kaum Iban, Melanau, Kayan dan Kenyah, sebagai contoh, merupakan antara etnik yang kreatif dan mahir dalam seni ukiran dan arca di Sarawak.
Hal ini jelas melalui pelbagai ciptaan produk utiliti harian mereka, sama ada untuk kegunaan domestik mahupun bagi tujuan ritual.
Bagi etnik di Sarawak, dapat diperhatikan bahawa wujud hubungan yang simbiotik antara para pengukir dengan hutan, iaitu sumber bahan utama seperti kayu ukiran.
Etnik Iban merupakan salah satu daripada enam rumpun etnik Dayak utama di Borneo, iaitu rumpun Apo Kayan atau Orang Ulu, rumpun Ngaju, rumpun Dayak Darat, iaitu Bidayuh dan Kanayatn, Punan (suku nomad), serta rumpun Dusunik di Sabah (King, 2017; Sellato, 1989, 2019).
Populasi etnik Iban boleh ditemui di serata Pulau Borneo, khususnya di Sarawak, Malaysia; Kalimantan Barat, Indonesia; dan Brunei Darussalam.
Di Sarawak, demografi etnik Iban berselerak di hampir semua bahagian negeri, dengan tumpuan populasi yang lebih besar di Bahagian Sri Aman, Bahagian Betong, Bahagian Sarikei, Bahagian Sibu, Bahagian Kapit, Bahagian Bintulu, Bahagian Miri dan Bahagian Limbang. Walaupun berasal daripada suku etnik yang sama, masyarakat Iban di setiap bahagian di Sarawak menunjukkan perbezaan dari segi dialek.
Setiap etnik di Malaysia mempunyai adat, kepercayaan, sosiobudaya dan keistimewaan tersendiri.
Begitu juga dengan etnik Melanau di Sarawak, yang mempunyai keunikan tersendiri terutama dalam seni ukiran dan arcanya yang berbeza daripada etnik lain.
Melanau atau a-liko merupakan salah satu kaum bumiputera di Sarawak.
Ejaan yang merujuk kepada kaum ini telah berubah beberapa kali, antaranya Ma-lou-no, Milanowes, Milanos, Malano dan Melano, Malanau, dan kini bentuk ejaan yang lebih mantap serta diterima umum ialah Melanau.
Melanau merupakan komuniti peribumi yang kebanyakannya mendiami kawasan pesisir dan muara sungai di antara Lembah Rajang dengan Sungai Baram di Sarawak. Ukiran sering dinilai daripada keindahan corak atau motif yang diukir.
Kita sering melihat corak sebagai satu pengulangan elemen seni yang memberi rasa kesatuan dalam konteks seni visual.
Menurut Lazzari dan Schlesier (2008), corak merupakan satu konfigurasi bentuk atau elemen visual berulang yang mampu membentuk motif.
Dengan kata lain, motif dapat mewakili idea, imej dan tema yang disatukan melalui penggunaan corak.
Penggunaan prinsip pengulangan dalam karya seni biasanya menghasilkan corak atau motif yang lazimnya diinspirasikan daripada bentuk flora dan fauna.
Bentuk dan rupa deretan tumbuhan seperti sulur pakis, rebung yang tumbuh di tanah, corak yang terhasil daripada titisan hujan atau pengulangan reka bentuk bulu burung dan sisik ikan merupakan antara sumber idea pengukir dalam penghasilan karya mereka.
Pengukir kayu etnik Sarawak juga tidak terkecuali mendapatkan inspirasi daripada sumber-sumber alam seperti ini.
Pengukir mampu menghasilkan reka bentuk yang tersusun melalui pendekatan motif tunggal dengan menggabungkan motif tunggal tersebut secara berulang dengan motif yang lain bagi menghasilkan satu reka bentuk yang lebih kompleks pada permukaan ukiran.
Mengenai motif ukiran Iban, ia mempunyai kaitan dengan unsur-unsur kepercayaan tentang kewujudan roh dalam kehidupan harian masyarakat Iban.
Pemilihan, peletakan dan penggunaan motif pada setiap objek budaya Iban tidak dilakukan secara sewenangwenangnya, sebaliknya bertujuan memenuhi keperluan tertentu.
Setiap motif ukiran dipercayai mengandungi kekuasaan roh di dalamnya. Ukiran pada patung burung kenyalang, misalnya, merupakan manifestasi roh Lang Sengalang Burung, iaitu dewa peperangan mengikut kepercayaan lama etnik Iban.
Kepercayaan tentang kewujudan roh di dalam motif juga dapat dilihat pada setiap peralatan pertanian, tenunan dan kelengkapan perang.
Augustine (1991) menceritakan pertempuran antara Lang Ngindang dan Lang Kachang, dan motif ukiran yang terdapat pada perisai kedua-dua seteru ini dipercayai mempunyai kuasa untuk melemahkan dan menggerunkan lawan masingmasing.
Tradisi pembuatan ukiran dan arca dalam masyarakat Iban banyak digariskan dan diatur selia oleh set larangan atau tabu yang dipanggil Mali, Pemali atau Penti Pemali.
Peraturan tidak bertulis ini sangat dihormati dan dipatuhi oleh mereka yang terlibat dalam proses pembuatan atau rekaan, selaras dengan corak atau motif yang digunakan. Seseorang pengukir atau artisan Iban akan berkarya mengikut tahap atau tingkat kepakarannya.
Pengukir di peringkat permulaan (novice carver) biasanya menghasilkan corak dan motif yang agak terbatas, ringkas dan mudah, terutama berdasarkan pemerhatian terhadap hasil corak dan motif para pengukir pakar. Kerumitan dan pengelasan corak serta motif meningkat secara berperingkat.
Pengukir daripada kelas kepakaran menengah digalakkan menyalin semula corak dan motif ukiran hasil pengukir pakar kelas tinggi atau maestro.
Warna tradisi yang biasa terdapat pada corak dan motif ukiran Iban terdiri daripada lima warna utama, iaitu hitam (chelum/kanggan), putih (burak), merah (mirah/mansau), hijau (gadung) dan kuning.
Terdapat beberapa objek budaya masyarakat Iban dan Melanau yang sering diukir pada masa lalu, antaranya belia, kenyalang, parang ilang, pentik, tiang pengingat, sangkuh (tombak), sungkup, tajau, terabai, tongkat lemambang, tuntun, agak, dakan/bilum, jerunei dan lain-lain.



