MUKAH: Kumpulan Warisan Vaie dinobatkan juara Pertandingan Bermukun sempena Kaul Mukah 2025, di Tapak Pesta Kaul, malam semalam.
Kejayaan itu membolehkan kumpulan yang mewakili Persatuan Melanau Bintulu itu membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala serta sijil.
Persembahan yang bertemakan Cinta Berahi itu berjaya menambat hati juri dengan kutipan markah tertinggi sebanyak 80.3 peratus.
Naib Johan dimenangi oleh kumpulan Cenderawasih yang membawa irama Laila Majnun dengan markah 77 peratus dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, piala serta sijil.
Tempat ketiga ialah kumpulan Warih Melanau dari Kampung Bakong Oya dengan markah 70 peratus dan membawa pulang hadiah wang tunai RM800, piala serta sijil.
Manakala, anugerah khas iaitu busana dan tatarias terbaik dimenangi oleh kumpulan Seroja Limbang, dan pantun terbaik dimenangi oleh kumpulan Cenderawasih.
Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib.
Dalam pertandingan itu, sebanyak 12 kumpulan yang menyertai terdiri daripada peserta dari Mukah, Oya, Daro, Bintulu, Miri, dan Limbang.
Pertandingan ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk tempatan dengan kehadiran lebih seribu pengunjung.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine, Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip, dan Temenggong Hendi Suhai.







