Waspada caj tersembunyi

KUCHING: Kesedaran mengenai hak-hak sebagai pengguna harus diterapkan dalam diri masyarakat agar tidak mudah tertipu oleh segelintir peniaga.

Menurut Muhd Irfan Afif Ahmad Subki, 22, setiap pengguna perlu meminta resit pembelian daripada peniaga sekiranya peniaga tidak memberikan resit tersebut.

“Kita mesti meminta resit selepas pembayaran di kaunter sebagai bukti pembelian harga barang agar tiada caj tersembunyi dan boleh melakukan perbandingan harga barangan tersebut.

“Setiap pengguna berhak untuk mendapatkan servis terbaik daripada peniaga dan melalui resit kita dapat menuntut pampasan barangan yang telah dibeli sekiranya barang tersebut rosak ataupun tidak seperti yang diharapkan.

Beliau juga menyarankan agar setiap pengguna wajib meminta dan menyimpan resit pembelian barangan untuk mengelak daripada dikenakan caj tersembunyi.

Sementara itu, Nurul Nazrin Raduan dari Kota Samarahan berkata, resit sangat diperlukan apabila membeli sesuatu barang kerana pengguna dapat melihat semula harga barangan tersebut dan dapat mengemas kini perbelanjaan mereka sama ada terlebih atau kurang pada setiap bulan.

“Kita perlu tahu hak kita sebagai pengguna kerana kita mengharapkan peniaga berlaku jujur dengan menjual barangan yang berkualiti. Sekiranya barang yang telah dijual kepada kita tidak menepati cita rasa (saiz) ataupun rosak, maka kita boleh melakukan pertukaran barang, pengambilan duit kembali dan memulangkan barang tersebut asalkan resit pembelian tersebut ada.

“Selain itu kita juga dapat mengelak amalan pembaziran dengan mengumpul resit dan melakukan perbandingan harga barangan yang telah dibeli.

‘’Saya pernah terkena peniaga tersalah letak harga barangan yang saya beli dan melalui resit pembelian tersebut saya dapat menuntut wang saya kembali,’’ ujarnya.

Menurut Brandon Douglas Juilis, 24, resit adalah rekod yang tepat untuk membantu peniaga dan pengguna mengenai servis perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan.

‘’Ia menyimpan rekod perbelanjaan kita yang dapat mengesan sebarang kos tersembunyi yang dikenakan oleh peniaga dan mengetahui peratus potongan GST.

‘’Saya tahu hak saya sebagai pengguna kerana pihak kerajaan sering memberikan pendedahan mengenai hak-hak kami agar tidak mudah terperdaya oleh segelintir peniaga dan memas

tikan keselamatan kami untuk membeli sebarang produk terjamin.

‘’Saya sebagai pengguna mempunyai hak untuk mengetahui harga yang tertera pada barang yang ingin saya beli dan penjual wajib meletakkan tanda harga sebagai pemberitahuan kepada saya dan pengguna lain,’’ tambah Brandon.

Brandon menggesa agar masyarakat lebih peka terhadap hak mereka sebagai pengguna untuk mengetahui kandungan, harga dan kesan daripada pembelian sesuatu produk.

Bagi Dayang Salbiah Awang Chek, 44, resit pembelian mesti disimpan.

“Resit yang diterima akan dijadikan rujukan sekiranya berlaku sebarang masalah.

“Saya pernah membeli satu item barang dengan harga RM23.50 sen, namun saya terkejut apabila saya terpaksa membayar RM30. Setelah melihat resit pembelian saya mendapati juruwang tersalah meletakkan harga dan saya dapat menuntut baki wang.

“Kita juga boleh merekod kewangan dan perbelanjaan setiap bulan daripada penyimpanan resit. Kita dapat membuat perbandingan harga barang tersebut dengan kedai lain sama ada terdapat kos tersembunyi yang dikenakan kepada pelanggan atau tidak,” kata Salbiah.