MUKAH: Pasangan Wen Onn dan Desmond Puseh muncul juara Pertandingan Pickleball Piala Tone Café Veteran Petanak 2026 selepas menewaskan pasangan Edwin Layang dan Reduan Sophian dengan keputusan 30-25 pada perlawanan akhir, baru-baru ini.
Kejayaan itu membolehkan Wen Onn dan Desmond membawa pulang piala serta wang tunai RM500, manakala naib juara, Edwin dan Reduan menerima RM300 berserta pingat.
Tempat ketiga bersama dimenangi oleh pasangan Roslan Hamdan dan Jay Keram serta Bolhen Kuheng dan Dennis Adeni.
Pengurus Besar Tone Café merangkap penaja, Jackson Valentine berkata sebanyak 28 pasangan veteran menyertai kejohanan yang dianjurkan oleh Petanak Pickleball Team dengan tajaan hadiah berupa wang tunai, piala dan pingat daripada Tone Café.
Mengulas mengenai penganjuran tersebut, beliau berkata ia bertujuan menggalakkan penglibatan komuniti setempat, khususnya pemain veteran, dalam sukan pickleball agar kekal aktif dan sihat.
“Melalui penganjuran seperti ini, kita berharap komuniti setempat terus aktif tanpa mengira usia, di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pemain,” katanya.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Jackson dan turut dihadiri Jawatankuasa Pengelola serta pemain Petanak Pickleball Team.




