Whatsapp jika ada jalan rosak

KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memperkenalkan dua talian WhatsApp menerusi inisiatif ‘JKR Sarawak RoadCARE’ bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat tentang kerosakan jalan raya dengan cepat.

Pengarahnya Datu Ir. Zuraimi Sabki memberitahu, talian berkenaan ialah +6011-70171777 dan +6011-70172777.

“Penggunaan platform WhatsApp yang boleh diakses menerusi telefon pintar itu merupakan alternatif dan penambahbaikan dalam aspek urusan penyelenggaraan jalan raya yang bersifat mesra pelanggan.

“Ia bersesuaian dengan usaha kita untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang awam terutama melibatkan kerosakan jalan raya.

“Justeru, menerusi kedua-dua talian ini (+6011-70171777 atau +6011-70172777), maklumat lokasi menerusi foto yang disalurkan memudahkan kita mengenal pasti kerosakan untuk tindakan segera diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan aplikasi WhatsApp JKR Sarawak RoadCARE di Bilik Muhibbah, Ibu Pejabat JKR Sarawak, semalam.

Jelasnya, aplikasi tersebut membolehkan aduan yang diterima diproses dengan cepat dan lebih sistematik.

Tambahnya, begitu juga maklum balas kepada pengadu akan dapat diberikan dengan segera.

Hadir sama Timbalan Pengarah Pengurusan Aset Ir. Richard Tajan, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Korporat Ir. Wisil Lichok, Ketua Aset Ting Sie Loh serta Penolong Pengarah Aset Jalan dan Kejuruteraan Sivil Ir. Awang Mohd. Fadillah Awang Redzuan.