KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap menyifatkan kenyataan terbaharu DAP Sarawak, yang dikeluarkan oleh Michael Kong mengelirukan rakyat.
Beliau berkata, berbanding menjawab kebimbangan dasar kewangan Kerajaan Persekutuan, Michael – pembantu khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen memilih untuk terus beretorik politik.
Menurutnya, penggunaan Pembiayaan Alternatif oleh Sarawak tidak boleh disamakan dengan amalan pinjaman tidak mampan oleh kerajaan persekutuan.
“Sarawak berada dalam kedudukan fiskal yang kukuh dengan lebih RM31 bilion rizab.
Mekanisme Pembiayaan Alternatif yang diuruskan melalui Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), membolehkan Kerajaan Sarawak mempercepatkan pembangunan infrastruktur sambil mengekalkan baki tunai yang sihat dan tidak menjejaskan kemampanan jangka panjang.
“Manakala, pinjaman yang dipetik oleh DAP Sarawak iaitu RM7.5 bilion pada 2023, RM7.05 bilion pada 2024, RM7.46 bilion pada 2025 pula disokong oleh aset dan rizab negeri dan disalurkan ke dalam infrastruktur berimpak tinggi, selain memperlihatkan hasil seperti jalan raya, bekalan air dan ketersambungan digital.
“Projek-projek ini dilaksanakan melalui entiti yang dikawal oleh kerajaan untuk mengurangkan kebocoran dan menambah baik garis masa penghantaran,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Wilfred turut menjelaskan bahawa pinjaman ini diluluskan melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan disepadukan sepenuhnya ke dalam bajet pembangunan tahunan negeri yang tertakluk kepada ketelusan dan pengawasan.
Langkah itu merupakan pembiayaan yang strategik, bertanggungjawab dan berfokuskan pembangunan untuk membina masa depan Sarawak.
Jelasnya, Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas juga pernah berkata bahawa tanpa model pembiayaan inovatif dan terkawal, lebih dua juta penduduk luar bandar Sarawak masih kekurangan akses infrastruktur asas seperti jalan raya dan jambatan di bawah program Jalan Trunk Kedua dan Jalan Pesisir.
“Sangat jelas hutang ini diurus secara bertanggungjawab, iaitu sekitar 12 peratus daripada KDNK Sarawak jauh lebih rendah berbanding nisbah hutang kepada KDNK Kerajaan Persekutuan yang melebihi 65 peratus,” katanya lagi.
Terdahulu, Michael Kong menyelar kenyataan Wilfred yang mengkritik pemberian Bantuan Tunai RM100 daripada Kerajaan Persekutuan selain menggesa kerajaan itu menilai semula bantuan tersebut.
Tambah beliau, kritikan Wilfred Yap baru-baru ini terhadap usaha Kerajaan Madani yang mengurangkan pinjaman baharu sebanyak RM22 bilion dalam tempoh dua tahun kebelakangan turut bersifat dwistandard.
“Ini adalah tidak realistik untuk mengharapkan mana-mana kerajaan mengurangkan pinjaman baharu daripada RM99 bilion kepada sifar dalam tempoh singkat satu hingga dua tahun.
“Yang penting ialah adanya rancangan yang jelas dan sistematik untuk mengurangkan hutang baharu secara beransur-ansur tanpa melumpuhkan pembangunan atau membebankan rakyat.
“Inilah yang dimaksudkan dengan pengurusan fiskal yang bertanggungjawab,” kata Michael.



